Anda di sini

Salurkan kes salah laku disiplin melalui peti aduan

Advertisement

RANAU: Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Ranau (KPPD) Siti Hamni Hashim mahu para pelajar menyalurkan aduan kes salah laku disiplin termasuk buli melalui Peti Aduan Disiplin Murid.

Beliau berkata, setiap sekolah khususnya sekolah menengah mempunyai peti aduan sebagai saluran bagi pelajar yang mempunyai maklumat kes salah laku disiplin oleh rakan sekolah.

“Sekiranya melihat rakan-rakan melakukan perkara yang melanggar peraturan sekolah terutamanya kes buli, maka segeralah bertindak dengan melaporkan terus kepada guru ataupun menerusi peti aduan yang disediakan.

“Pelajar tidak perlu takut atau risau menyalurkan maklumat membabitkan salah laku dan kegiatan jenayah dalam kalangan rakan sekolah, tidak kira ketika atau selepas waktu belajar.

“Pengadu hanya perlu dapatkan maklumat dengan menulis nama pelajar, kelas, masa kejadian dan jenis salah laku bagi membolehkan pihak sekolah melakukan siasatan lanjut,” jelasnya.

Justeru, beliau mahu peti aduan itu digunakan sebaik-baiknya dengan harapan melalui saluran maklumat yang diberikan dapat membendung salah laku serta jenayah dalam kalangan pelajar.

Siti Hamni berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau yang dihadiri seluruh warga sekolah termasuk ibu bapa pelajar.

Dalam perkembangan sama, beliau juga memberitahu para pelajar yang didapati melakukan pelbagai kesalahan disiplin berat contohnya membuli, pelajar terbabit bakal berdepan tindakan disiplin termasuk gantung sekolah.

Advertisement