Anda di sini

Perakan kesal maklumat tidak tepat tentang guru

Advertisement

TAWAU: Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan Malaysia) Sabah menyelar tindakan pihak tertentu yang menyebar maklumat tidak tepat kononnya seorang guru berasal dari Kelantan terlantar di Hospital Tawau selama tiga bulan tanpa penjagaan keluarga selain turut kehilangan duit serta telefon mudah alihnya di hospital.

Pengerusi Perakan Malaysia Sabah Mohd Ariff Yusoff berkata, penyebar mungkin berniat agar pesakit diberi perhatian namun maklumat tular itu tidak jelas, bersifat fitnah dan memalukan banyak pihak termasuk rasa kurang senang dalam kalangan keluarga guru tersebut, rakan sekerja serta anggota Perakan.

“Guru itu yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Silabukan sebenarnya belum sampai tiga bulan ditahan di hospital, dan semua barang milik guru itu tidak hilang tetapi dipegang oleh pihak (guru-guru) yang menjaganya secara bergilir-gilir.

“Ibu bapa kepada guru tersebut juga datang menziarahinya sebanyak tiga kali dan abang kepada guru ini juga berusaha untuk membawa balik adiknya dan dirawat di Kelantan namun kemudahan hospital ketika ini tidak mengizinkan guru ini dibawa keluar dari hospital,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kad pengenalan tertera nama Khairul Anuar Mohd Razali dan gambar seorang lelaki dalam keadaan terbaring di katil hospital Tawau itu tular di media sosial sejak kelmarin.

Dalam pada itu, Mohd Ariff berkata pihak kerajaan negeri Kelantan turut menghulurkan sumbangan kepada guru tersebut melalui Exco Pembangunan Wanita Mumtaz Nawi selain turut mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Bachok Ahmad Marzuk Shaary.

Menurut Mohd Ariff, seluruh warga Perakan Malaysia dan masyarakat umum diminta supaya mengadakan solat hajat sebagai mendoakan kesihatan guru tersebut.

Sementara itu, Bernama difahamkan pihak hospital turut tampil membuat laporan polis semalam ekoran maklumat tular itu tidak tepat selain mengaitkan kehilangan duit serta telefon pesakit di hospital. — Bernama

Advertisement