Anda di sini

Pasaran modal negara naik 9% kepada RM3.1 trilion

Advertisement
 Najib menyampaikan ucaptama sempena perasmian Invest Malaysia 2017 semalam.  — Gambar Bernama
UCAPTAMA: Najib menyampaikan ucaptama sempena perasmian Invest Malaysia 2017 semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pasaran modal Malaysia meningkat sembilan peratus kepada RM3.1 trilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan kini menduduki tempat kelima di Asia, berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, Malaysia juga menjadi lokasi utama kepada syarikat tersenarai di ASEAN dan pada AS$29 bilion, Bursa Malaysia telah mencatatkan dana tertinggi yang diperoleh dalam lima tahun lepas dalam kalangan 10 anggota perkumpulan itu.

“Semua ini menunjukkan kepada satu kesimpulan, iaitu ekonomi kita terus maju dan lebih kuat dari sebelumnya hasil daripada pembaharuan dan program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan,” kata beliau  dalam ucaptama di Invest Malaysia 2017 di sini semalam.

Beliau berkata memandangkan komuniti perniagaan dan syarikat-syarikat mahukan kekuatan dan kestabilan, mereka mahu kepastian yang disediakan oleh kerajaan yang memahami kemakmuran rakyatnya, dilayan baik dengan menjadi mesra perniagaan dan kedaulatan tidak terjejas oleh pelaburan langsung asing.

“Komuniti perniagaan mahu kepastian yang kerajaan komited terhadap pembaharuan yang diperlukan dan memupuk budaya keusahawanan, ketelusan, akauntabiliti, dan peraturan yang baik,” katanya.

Beliau berkata antara pelaburan utama yang dijanjikan syarikat asing di Malaysia termasuk Huawei dari China, yang menjadikan negara ini ibu pejabat operasi globalnya, pusat latihan global dan hos bagi data, dengan kos projek sebanyak RM2.2 bilion serta mengambil 2,370 pekerja.

Beliau berkata pelaburan penting lain ialah Saudi Aramco yang melabur AS$7 bilion - pelaburan hiliran terbesar syarikat di luar Arab Saudi, bagi 50 peratus kepentingan dalam projek Pembangunan Bersepadu Petroleum dan Petrokimia di Johor.

“Pelaburan itu adalah pelaburan tunggal terbesar di Malaysia, dan menunjukkan keyakinan Arab Saudi kepada rakyat kita, teknologi kita, dan kemampuan untuk menjadi rakan kongsi yang kuat dengan perniagaan mereka yang paling penting,” kata beliau.

Selain itu, Najib berkata HSBC yang berpangkalan di London, melabur lebih RM1 bilion untuk membina ibu pejabat serantau pada masa depan di Tun Razak Exchange, yang mengiktiraf status Malaysia yang semakin meningkat sebagai pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa.

Satu lagi syarikat, Broadcom Ltd, antara entiti separa konduktor terbesar dunia dengan permodalan pasaran hampir setengah trilion dolar, memindahkan hab pengedaran globalnya yang akan menguruskan inventori global kumpulan sebanyak RM64 bilion setahun ke Malaysia dari Singapura tahun ini.

“Syarikat lain yang sudah berada di sini kini mengembangkan operasi mereka. Finisar Corporation, peneraju teknologi global dalam komunikasi optikal, akan melabur RM610 juta lagi dalam operasinya di Perak, menjadikan jumlah pelaburannya di Malaysia sebanyak  RM1 bilion,” katanya.

Najib juga mengkritik mereka yang menentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan berkata kerajaan melakukan apa yang baik untuk rakyat.

“Kami akan sentiasa mengutamakan kepentingan mereka, dari soal ekonomi hinggalah keselamatan. Walaupun ia bukan perkara yang paling popular untuk dilakukan, kami tidak akan teragak-agak kerana ia adalah perkara yang perlu dilakukan untuk negara,” kata beliau.

Beliau berkata inilah sebabnya kenapa beliau tidak begitu popular di mata individu tertentu, yang mana di bawah kepimpinannya banyak jalan singkat diambil dan menyebabkan rakyat terpaksa menangung kesan demi menguntungkan berapa sahabatnya.

“Ini boleh dilihat apabila simbol kebanggaan negara dibebani dengan keputusan yang amat teruk.

“Bagaimanapun di bawah kerajaan ini, kami sedang berusaha mengatasi kapitalisme kroni, Tiada lagi urus niaga pilih kasih. Tiada lagi keputusan kurang bijak untuk memenuhi ego seorang individu. Tiada lagi syarikat nasional yang dianggap sebagai harta persendirian,” katanya.

Najib berkata sejak 2010 kerajaan telah memperkenalkan Model Ekonomi Baru yang disusun untuk mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan menjadikan negara ini lebih inklusif, saksama dan masyarakat mampan, tanpa ada yang ketinggalan, dan peluang disediakan untuk semua.

“Ini bersama-sama asas yang betul untuk menjamin masa depan yang stabil dan berjaya.

“Kita mempunyai rancangan transformasi ekonomi, walaupun membuat pilihan yang sukar tetapi bertanggungjawab. Kini telah jelas, setelah dibantu oleh berjuta-juta rakyat Malaysia yang bekerja keras, rancangan itu telah berhasil dan terus menunjukkan hasil,” tambahnya.

Beliau berkata antara 2009 dan 2016, Pendapatan Negara Kasar (PNK) meningkat hampir 50 peratus, dan PNK per kapita menggunakan kaedah Atlas, meningkat kepada AS$9,850.

“Berdasarkan angka pendapatan tinggi terkini Bank Dunia sebanyak AS$12,235, kita telah merapatkan jurang ke arah sasaran pendapatan tinggi daripada 33 peratus kepada 19 peratus,” kata beliau sambil menambah, 2.26 juta pekerjaan juga telah diwujudkan.

“Ini mewakili 69 peratus daripada 3.3 juta yang disasarkan kerajaan untuk dicapai pada 2020. Inflasi dan pengangguran juga masih rendah,” kata Najib.

Najib berkata pertumbuhan Malaysia ‘dicemburui’ ekonomi maju, walaupun semasa kemelut ekonomi global, manakala Bank Dunia telah menaikkan anggarannya untuk negara ini pada tahun ini.

“Kita dijangka mencatatkan kenaikan dalam KDNK pada 4.9 peratus, yang lebih tinggi daripada unjuran awal IMF sebanyak 4.3 peratus,” kata beliau.

Perdana menteri berkata agensi penarafan lain juga telah meningkatkan unjuran mereka dengan Morgan Stanley kini menjangkakan lima peratus manakala Nomura mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.3 peratus pada tahun ini.

“Pertumbuhan dijangka lebih tinggi tahun depan. Jadi kita berada di trajektori yang betul,” tambah Najib.

Beliau berkata angka lain yang menyokong keyakinan di Malaysia termasuk perdagangan pada suku pertama meningkat sebanyak 24.3 peratus kepada RM430.5 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas, dengan eksport melebihi paras RM80 bilion untuk kali pertama pada Mac.

“Angka RM82.63 bilion itu adalah angka bulanan tertinggi bagi eksport Malaysia yang pernah direkodkan. Selain itu, Bloomberg menganggap ringgit sebagai ‘mata wang utama Asia yang paling kuat pada suku ini’, naik dua kali sebanyak mata wang China, yuan,” katanya.

Najib berkata penilaian ekonomi terbaru oleh Pertubuhan  Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) terhadap Malaysia menggambarkannya sebagai antara ekonomi Asia Tenggara yang paling berjaya, hasil daripada asas makroekonomi yang mantap dan kejayaan negara dalam mengubah ekonomi menjadi pelbagai dan inklusif.

Beliau berkata IMF pula, sebaliknya, melaporkan bahawa daya tahan ekonomi Malaysia adalah disebabkan oleh tindak balas dasar makroekonomi yang kukuh dalam menghadapi tekanan dan risiko yang ketara.

“Dan dasar-dasar yang baik inilah menjadi sebab mengapa mereka berkata Malaysia adalah antara ekonomi yang paling pesat berkembang dalam kalangan negara lain,” kata beliau.

Sementara itu, Najib berkata Bank Dunia dalam laporan terbarunya, yang dikeluarkan pada bulan lepas, berkata pengurusan makroekonomi kerajaan sentiasa proaktif dan berkesan dalam mengemudi cabaran jangka pendek dalam persekitaran ekonomi.

Invest Malaysia 2017, dianjur bersama oleh Bursa Malaysia dan CIMB Investment Bank dengan tema, ‘Malaysia pada 60: Memaksimumkan Keupayaan’, adalah acara tahunan utama negara yang mempamerkan kepelbagaian dan kekuatan pasaran modal Malaysia. — Bernama

Advertisement