Anda di sini

Majukan industri seni kreatif: Kamarlin

Advertisement
 Kamarlin melakukan simbolik bagi menyempurnakan program ‘Conteng Bah’ yang berlangsung selama dua hari di Riverson.
KREATIF: Kamarlin melakukan simbolik bagi menyempurnakan program ‘Conteng Bah’ yang berlangsung selama dua hari di Riverson.

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi meminta kerajaan negeri membangunkan lagi industri seni kreatif di Sabah kerana ia bukan sahaja mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat tempatan malah dari luar negara.

Menurutnya, industri seni kreatif di Sabah wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri memandangkan terdapat permintaan tinggi daripada para peminat seni.

Beliau yakin sekiranya dimajukan ke tahap yang lebih tinggi, ia sudah pasti dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri secara tidak langsung.

Jelas beliau, seni kreatif yang dihasilkan penggiat seni di negeri ini memiliki keunikannya yang tersendiri serta mempunyai potensi yang sama dengan negara lain.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program ‘Conteng Bah’ Jesselton Artison Market, di Riverson di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Kamarlin yang juga ADUN Lumadan menyambut baik usaha Doodle Malaysia, Hive Studio, Jesselton Artison Market dan Riverson atas inisiatif menganjurkan program itu.

Sambil memuji usaha itu, beliau yakin inisiatif itu mampu membantu para penggiat seni dalam memasarkan hasil seni mereka sekaligus menarik minat lebih ramai peminat seni dari dalam dan luar negara.

“Program ini juga bukan sahaja dapat melahirkan lebih ramai penggiat seni di negeri ini malah turut mengasah bakat mereka kerana platform ini memberi peluang kepada mereka untuk saling berinteraksi dan bertukar idea serta pandangan,” katanya.

Lebih 100 vendor mengambil bahagian dalam acara yang berlangsung selama dua hari di Riverson dan mencatatkan sekitar kira-kira 10,000 pengunjung tempatan serta luar negara yang sebahagiannya merupakan peminat seni.

Kamarlin berharap semua pihak dapat menganjurkan program seumpama itu dengan lebih kerap bagi memastikan industri seni kreatif di negeri ini terus berkembang selari dengan peredaran masa.

Advertisement