Anda di sini

Empat pemuda mengaku tidak bersalah curi kelapa

Advertisement

MIRI: Empat pemuda masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam terhadap tuduhan mencuri buah kelapa bernilai RM60.

Mohd Azhar Sawal, 22, Ismail Dahlan, 22, Mohammad Jabrullah Johari, 22, dan Mohd Khalid Wahap, 23, kesemuanya dari Pujut Padang Kerbau di sini telah didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan kes, keempat-empat tertuduh telah dituduh mencuri buah kelapa bernilai RM60 kepunyaan Yusof Daud, 50.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 12.30 tengah hari, 20 Julai lalu di sebuah kebun kelapa di Kampung Pujut Padang Kerbau di sini.

Setelah mendengar pengakuan tidak salah kesemua tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 1 Ogos ini untuk pengurusan kes.

Manakala kesemua tertuduh diperintahkan supaya dibebas dengan jaminan masing-masing RM1,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement