Anda di sini

Dikecam, rejim Israel guna cara halus

Advertisement
 Tentera Israel meleraikan alat pengesan logam yang baharu dipasang di pintu masuk ke pekarangan Masjidil Aqsa di Kota Lama Baitulmaqdis, awal semalam. — Gambar Reuters
ADA MUSLIHAT: Tentera Israel meleraikan alat pengesan logam yang baharu dipasang di pintu masuk ke pekarangan Masjidil Aqsa di Kota Lama Baitulmaqdis, awal semalam. — Gambar Reuters

BAITULMAQDIS: Pegawai Wakaf berkata semalam umat Islam perlu terus memboikot Masjidil Aqsa setelah rejim Israel menggantikan alat pengesan logam dengan cara kawalan lain menggunakan teknologi termaju yang tidak dinyatakan dengan jelas.

“Jangan masuk ke Masjidil Aqsa sehingga jawatankuasa teknikal Wakaf membuat penilaian dan situasi kembali seperti sediakala seperti mana sebelum 14 Julai lalu,” menurut kenyataan Wakaf, pertubuhan Islam yang mentadbir kompleks masjid suci itu.

Israel telah menurunkan alat pengesan logam dan kamera pemantauan sebelum subuh semalam, tetapi mengakui akan melaksanakan kawalan lebih ketat dengan menggunakan teknologi termaju dan cara lain yang tidak diperincikan.

Langkah tersebut susulan seruan meluas diplomasi antarabangsa yang cuba mengurangkan ketegangan ekoran peningkatan kawalan ke atas kompleks tersebut yang dikenali sebagai Haram al-Sharif atau Temple Mount bagi Yahudi.

Kru menanggalkan alat pengesan logam dari salah satu pintu masuk utama ke kompleks tersebut dan kamera yang dipasang di atas jejambat juga telah dibuka, menurut laporan koresponden AFP.

Puluhan anggota tentera Israel berkawal di pintu masuk tersebut ketika jemaah bersolat Subuh di luar seperti mana beberapa hari lalu sebagai tanda protes terhadap peningkatan sekatan itu.

“Kabinet keselamatan Israel membuat keputusan untuk menukar pemeriksaan dengan alat pengesan logam kepada cara pemeriksaan keselamatan berdasarkan teknologi termaju dan cara lain,” menurut pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Ratusan penduduk Palestin berhimpun dekat pintu masuk kompleks tersebut untuk meraikan keputusan tersebut dan seseorang melancarkan bunga api, menyebabkan polis rejim menggunakan bom tangan bunyi untuk meleraikan orang ramai.

“Pergerakan ini adalah pergerakan jalanan,” kata Sheikh Raed Dana daripada Wakaf.

“Kami sebagai Wakaf mendengar suara jalanan. Suara jalanan berkata ya dan kami akur; jika suara jalanan berkata tidak kepada langkah-langkah tersebut, kami juga menolaknya,” katanya susulan keputusan rejim itu.

Keputusan tersebut dibuat susulan rundingan antara Netanyahu dengan Raja Jordan Abdullah II, di mana Jordan adalah penjaga rasmi tapak suci di Baitulmaqdis.

Ia juga susulan rundingan krisis oleh salah seorang pembantu kanan Presiden AS Donald Trump, Jason Greenblatt, dan utusan PBB memberi amaran risiko peningkatan ketegangan.

“Bahaya di jalanan akan meningkat jika kita membenarkan satu lagi solat Jumaat tanpa penyelesaian kepada krisis semasa,” kata Nickolay Mladenov selepas taklimat Majlis Keselamatan PBB yang bertemu untuk membincangkan cara melegakan ketegangan kelmarin.

Mladenov memberi amaran keganasan di Baitulmaqdis boleh merebak melangkaui Timur Tengah.

Sementara itu, dalam kes berasingan, pengawal keselamatan kedutaan Israel di Amman melarikan diri ke Tel Aviv lewat kelmarin bersama kakitangan kedutaan yang lain setelah perjanjian dipersetujui susulan pembunuhan dua warga Jordan pada Ahad.

Pengawal terbabit menembak mati pemuda Jordan yang menyerangnya dengan pemutar skru, selain menyebabkan seorang doktor Jordan yang berada di tempat kejadian cedera sebelum kemudian disahkan mati.

Jordan mahu menyoal siasat pengawal terbabit tetapi rejim menuntut kekebalan diplomatik. — AFP

Advertisement