Anda di sini

Tanjung Malim bakal muncul bandar pesat membangun

Advertisement

TANJUNG MALIM: Tanjung Malim yang lebih sinonim sebagai lokasi menempatkan Proton Holdings Berhad (Proton), bakal menjadi bandar pesat membangun seterusnya di Malaysia berikutan langkah firma terkemuka China, Zhejiang Geely Holdings Group yang mengambil alih hampir separuh ekuiti dalam syarikat automotif nasional itu.

Malah, ribuan pekerjaan baharu dijangka dapat diwujudkan pada tempoh-tempoh akan datang susulan kesan limpahan ekonomi hasil transformasi daerah yang agak lengang di Perak itu.

Ini berikutan sasaran Geely – disokong oleh pusat penyelidikan dan pembangunan serta reka bentuk bertaraf dunia untuk mengeluarkan kira-kira 500,000 unit kereta bagi pasaran Asia Tenggara menjelang tahun 2020.

Malaysia pasa masa itu, akan menjadi hab pengeluaran kereta berpemanduan kanan untuk Geely di rantau ASEAN, sekali gus membolehkan Tanjung Malim memaksimumkan kapasitinya termasuk membabitkan aktiviti pemasangan kereta Volvo.

Antara manfaat diraih Proton berikutan pemeteraian jalinan pakatan strategik dengan Geely baru-baru ini adalah mendapat hak eksklusif terhadap produk Geely, teknologi terbaharu dan akses ke pasaran melangkaui Asia Tenggara dan China yang merupakan pasaran kereta terbesar dunia dengan jualan tahunan mencecah sebanyak 28 juta unit.

Sejumlah 2.1 juta unit kereta telah dijual di negara-negara ASEAN pada 2016 iaitu peningkatan sebanyak 85 peratus berbanding pada 2006.

Sudah pasti, individu yang paling gembira dengan prospek Tanjung Malim pada masa terdekat ini adalah Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjung Malim, Mohd Syukri Azaari.

Menurutnya, bertitik tolak daripada langkah Proton membuka kilang di situ pada tahun 2000, telah membawa kepada kewujudan Proton City serta kampus baharu Universiti Perguruan Sultan Idris seluas 320 hektar.

Proton juga merupakan majikan terbesar di kawasan itu dengan lebih 2,000 pekerjaan dengan separuh daripadanya adalah pekerja warga tempatan selain turut memberi tempias dari segi impak besarnya terhadap ekonomi Tanjung Malim.

Perkembangan itu turut membawa kepada langkah menaik taraf daerah kecil Slim River kepada Daerah Muallim yang baharu pada tahun lepas selain perbandaran baharu seperti Bandar Behrang 2020 dan Kota Malim Prima,” katanya kepada Bernama.

Mohd Syukri juga ternyata amat berpuas hati dengan kutipan hasil Majlis Daerah itu baik sebelum dan selepas era Proton.

Pada 1999 misalnya, kutipan itu hanya berjumlah RM4 juta tetapi melonjak kepada RM15 juta bagi tempoh setakat tahun ini.

Apabila kami (di pihak majlis) tahu bahawa Proton akan menjalin kerjasama strategik dengan Geely dari China, kami sudah dapat membayangkan tsunami ekonomi yang akan melanda Tanjung Malim,” katanya.

Dalam perkembangan lain, bilangan harta tanah di Tanjung Malim juga telah berlipat ganda kepada 20,000 buah sejak kehadiran Proton.

Mohd Syukri juga menjangkakan Majlis Daerah Tanjung Malim dapat mengutip hasil sebanyak RM20 juta dalam masa terdekat ini dengan bilangan penduduknya pula meningkat kepada 100,000 orang sebaik bermula pelan pengembangan Proton berbanding 70,000 orang masa ini dan 40,000 orang sebelum industri automotif bertapak di kawasan berkenaan.

Ada kemungkinan juga status Majlis Daerah sedia ada akan dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran. Ini dapat memberi kemudahan kepada rancangan kerajaan untuk mewujudkan Bandar Belia 1Malaysia di sini,” katanya. — Bernama

Advertisement