Anda di sini

Tangani krisis makanan, golongan muda digalak sertai Pertubuhan Peladang

Advertisement
 Dr Hamid menyerahkan replika kunci stor kepada Abd Rahman disaksikan Anita.
SIMBOLIK: Dr Hamid menyerahkan replika kunci stor kepada Abd Rahman disaksikan Anita.

LAHAD DATU: Pertubuhan Peladang digesa menambahkan keahliannya dalam kalangan generasi muda agar dapat menangani cabaran krisis makanan menjelang 2050.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Mohd. Nazri Abdullah berkata setakat ini keahlian berjumlah kira-kira 850,000 orang di seluruh negara dan ia belum mencukupi.

Katanya, sasaran keahlian menjelang tahun 2020 ialah seramai satu juta dan meskipun ia hampir dicapai usaha perlu ditingkatkan kerana pertambahan penduduk negara dianggarkan seramai 50 juta orang menjelang tahun 2050.

Cabaran menangani krisis makanan merupakan tanggungjawab kita dan ia amat penting dilaksanakan kerana penambahan penduduk menjadi 50 juta orang pada tahun 2050.

Kita perlu menambah keahlian yang lebih ramai lagi dari kalangan generasi muda agar negara dapat mencapai menjadi antara negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi,” katanya.

Mohd Nazri berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Pengurus Besar NAFAS Dr Hamid Sulaiman pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Lahad Datu Kali Ke-27/2017 di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Siew Ching, dekat sini, pada Sabtu.

Menurut beliau lagi, NAFAS sentiasa komited melengkapkan prasarana, rangkaian pemasaran dan bantuan modal kepada ahli-ahli peladang.

Katanya, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) perlu proaktif dan berdaya saing kerana cawangan Agrobazar Rakyat 1Malaysia dan pasar raya agro di seluruh negara akan ditingkatkan.

Ahli-ahli juga diberi keutamaan dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan, pengedaran baja padi dan lain-lain selain pelbagai bantuan zakat perniagaan serta sumbangan,” katanya.

Selain itu, sebanyak 200 pusat pengumpulan didirikan di seluruh negara, tabung pinjaman mudah kepada petani, Dana Peladang Kebangsaan juga boleh dirujuk sebagai sebuah badan pembiaya kepada projek-projek berdaya maju.

Manakala bagi projek jangka pendek, pembiayaan tidak lebih satu tahun dan projek jangka sederhana dengan tempoh pembiayaan tidak melebihi lima tahun juga boleh dimanfaatkan ahli-ahli Peladang.

Pada majlis itu juga, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Sabah, Anita Misuari ketika berucap menyeru semua pihak bersama-sama menyokong usaha menangani rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Ia selaras dengan seruan SPRM untuk menjadi agensi yang bersih dan bebas rasuah.

Menurutnya, masyarakat juga perlu tampil memberi kerjasama dan memainkan peranan membanteras aktiviti negatif itu.

Saya menyeru agar semua pihak tampil dan bekerjasama membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Lahad Datu, Abd Rahman Kassim.

Advertisement