Anda di sini

Perairan Sabah selamat

Advertisement

Tarik penggemar aktiviti laut, dijaga rapi pihak berkuasa

 Zainal (duduk, dua kanan) bersama tetamu lain dan kakitangan RAY As Sakinah merakam gambar kenangan bersama pemilik kapal Restless M dari Australia ketika menaiki kapal berkenaan ke Pulau Manukan.
PROGRAM AMAL: Zainal (duduk, dua kanan) bersama tetamu lain dan kakitangan RAY As Sakinah merakam gambar kenangan bersama pemilik kapal Restless M dari Australia ketika menaiki kapal berkenaan ke Pulau Manukan.

KOTA KINABALU: Kehadiran 1,000 kapal layar dari Persatuan Sail Malaysia seluruh dunia jelas membuktikan bahawa perairan negara khususnya di Sabah adalah dalam keadaan selamat dan terus dijaga rapi oleh pihak berkuasa tempatan.

Pengerusi Taman-Taman Sabah Datuk Seri Tengku Zainal Adlin Tengku Mahamood berkata, kedatangan penggemar aktiviti laut sepanjang 10 tahun kebelakangan ini menunjukkan bahawa tiadanya isu ancaman penculikan di perairan negeri ini.

Kita tidak perlu mengubah persepsi segelintir masyarakat luar berkaitan suasana perairan negara misalnya di Semporna dan Lahad Datu kerana mereka sendiri mengakui bahawa perairan negeri ini selamat dari sebarang ancaman.

Tiada guna saya katakan negara ini selamat jika mereka tidak merasai sendiri dan pastinya mereka akan memberitahu kepada seluruh dunia bahawa perairan negara adalah selamat,” katanya ketika ditemui pada Program Amal Bersama Anak Yatim dan Asnaf As Sakinah di Pulau Manukan pada Ahad.

Selain itu Zainal berkata, meskipun jumlah kapal layar yang datang tidak menentu disebabkan keadaan ekonomi dan cuaca, namun, pihaknya terus menerima kedatangan daripada 52 negara itu setiap tahun.

Bahkan katanya, dua pertiga daripada jumlah pelayar yang datang ke Sabah sepanjang 10 tahun ini memutuskan untuk terus menetap lebih daripada setahun.

Mengenai program itu pula beliau berkata ia termasuk dalam kempen ‘Discover Malaysia by Sea’ anjuran Sail Malaysia dengan kerjasama Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Sabah,  Taman-Taman Sabah, dan Rumah Anak Yatim dan Asnf As Sakinah Papar.

Katanya, ia adalah satu-satunya kempen yang dapat memberi peluang kepada pelancong mengenali lima pulau Taman Tunku Abdul Rahman di samping membawa anak-anak yatim mencipta pengalaman menaiki kapal mewah.

Selain itu kita mahu memperkenalkan pakej pelancongan marin kepada masyarakat luar yang mana masih belum dapat dipromosikan secara meluas ke seluruh dunia,” katanya.

Seramai 20 anak yatim dan 10 kakitangan Ray As Sakinah menyertai program berkenaan yang julung kali diadakan. Hadir sama ialah Pengerusi Ray As Sakinah Samin Ongki serta Pemilik Kapal Layar Restless M Errol dan Claire White.

Advertisement