Anda di sini

Malaysia sudah bersedia

Advertisement

Status negara berpendapatan tinggi bakal dicapai

KUALA LUMPUR: Malaysia telah mencapai kejayaan melalui inisiatif yang digariskan di bawah Program Transformasi Negara (NTP) ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan kini bersedia untuk mencapai matlamat tersebut, kata ahli ekonomi.

Ketua Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd Dr Kamaruddin Mohd Nor berkata, kepelbagaian ekonomi melalui pelbagai Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan Projek Permulaan (EPP) telah membuahkan hasil dengan melonjakkan Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi.

Beliau juga berkata Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada akhir 2016 sebanyak AS$10,010 berbanding AS$8,230 pada 2010, dan 18.5 peratus lebih rendah berbanding anggaran sasaran pendapatan tinggi sebanyak AS$12,272 menjelang 2020.

Ini merupakan pencapaian yang baik, susulan antara 2010 dan 2016, Malaysia telah merapatkan jurang ke arah sasaran pendapatan tinggi daripada 33 peratus kepada 18 peratus.

Dengan pemulihan yang lebih seimbang dan diselaraskan dalam ekonomi global, terdapat kecenderungan untuk mencapai matlamat tersebut,” katanya kepada Bernama.

Kamaruddin berkata NTP turut membantu menjana lebih 2.26 juta pekerjaan sejak enam tahun lalu.

Menurut laporan daripada Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri, dari permulaan dan sepanjang pelaksanaan pelbagai inisiatif NTP, matlamat untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi bukan semuanya mengenai pendapatan.

Katanya ‘keterangkuman’ dalam usaha menjana kekayaan adalah sama penting, memastikan pendapatan per kapita yang tinggi akan melibatkan seramai mungkin dalam proses tersebut.

Kamaruddin berkata, ketidaksamaan pendapatan menjadi antara isu sosioekonomi yang penting yang perlu ditangani pada peringkat teras, dan paras pendapatan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40)  melalui pelbagai program, mempunyai pertumbuhan yang paling besar berbanding strata pendapatan lain sejak 2009.

Pertumbuhan pendapatan bulanan median sebanyak 19 peratus dicatatkan oleh kumpulan B40 sejak 2009, dengan kadar pertumbuhan yang lebih cepat dalam strata bawah, mengurangkan jurang pendapatan.

Sementara itu, Pengarah Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam dalam satu temu bual lain berkata selain Malaysia berada pada landasan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, ia perlu terus berubah dan tidak berasa selesa berikutan negara lain bergerak ke hadapan.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk memikirkan semula, mengkaji semula dan memperbaharui dasar untuk menyemak hala tuju negara dan jika ia berada di landasan yang betul. 

Model Baru Ekonomi (NEM) perlu disemak semula. Dasar perlindungan dalam NEM pada masa ini perlu dikaji semula dan disemak semula, berikutan kita bersaing dengan mereka yang tidak mempunyai dasar perlindungan dalam model ekonomi mereka. 

Dasar perlindungan turut mendorong monopoli dan rasuah. Ini akan membawa kepada harga barangan yang lebih tinggi, selain mewujudkan perbezaan pendapatan yang lebih luas,” katanya. — Bernama

Advertisement