Anda di sini

Lelaki disyaki bunuh isteri direman tujuh hari bantu siasatan

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki warga emas ditangkap kerana disyaki membunuh isterinya diperintahkan Mahkamah Majistret Miri petang semalam supaya direman tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Steve Ritikos setelah membenarkan permohonan reman dikemukakan pegawai penyiasat kanan, ASP Koay Kok Ping dari Balai Polis Pusat Miri.  

Dalam permohonannya, Koay berkata sekitar jam 6.25 petang, 22 Julai lalu, seorang anggota bertugas di Balai Polis Batu Niah didatangi dua lelaki yang membuat laporan polis berhubung penemuan seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan sebuah ladang di Sungai Kelat, Bekenu.  

Selain itu, terdapat kesan lebam di bahagian leher mangsa.

Pengadu mendakwa mereka dimaklumkan tentang penemuan itu oleh seorang rakan yang berada di ladang berkenaan.

Bertindak atas maklumat, sekitar jam 11 malam, 23 Julai lalu di hadapan sebuah rumah di kawasan ladang di Subis, polis menangkap seorang suspek kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Dalam permohonan lanjutnya, Koay berkata reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 67 tahun dari Ladang Subis 2, Jalan Miri-Bintulu di sini amat diperlukan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci.

Tambahan polis masih memerlukan masa menyiasat motif pembunuhan dan merampas barang kes.

Justeru, membebaskan suspek lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Mahkamah membenarkan reman tujuh hari ke atas suspek dan tempoh reman tamat pada 31 Julai ini.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 43 tahun, seorang warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan bogel dan terdapat kesan lebam di bahagian leher, sekitar jam 3.30 petang di tepi jalan ladang.

Advertisement