Anda di sini

Kerajaan Malaysia dan Petronas diberi kebenaran untuk merayu

Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) diberi kebenaran untuk me-rayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan kerajaan negeri Kelantan memasukkan 14 persoalan dan isu undang-undang dalam pendengaran tuntutan samannya terhadap syarikat minyak itu yang didakwa melanggar kontrak berkaitan royaliti minyak.

Panel tiga hakim Mah-kamah Persekutuan, diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif, semalam memberi kebenaran tersebut berhubung tiga persoalan undang-undang sama ada Mahkamah Tinggi boleh mendengar persoalan undang-undang tambahan yang dibangkitkan oleh kerajaan Kelantan.

Kami sebulat suara membenarkan permohonan kebenaran untuk merayu mengenai tiga persoalan yang dikemukakan,” kata Raus yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Tan Sri Hassan Lah.

Tiga persoalan undang-undang itu akan dihujahkan dalam rayuan yang akan didengar pada satu tarikh yang akan ditetap kemudian.

Pada 30 Ogos 2010, Kerajaan Kelantan memfailkan saman itu terhadap Petronas, dengan menuntut syarikat minyak itu menjelaskan bayaran tertunggak dan bayaran tunai hadapan bagi petroleum yang dikeluarkan di luar pantai Kelantan seperti terkandung dalam perjanjian cari gali petroleum antara mereka.

Dalam kenyataan tuntutannya, kerajaan Kelantan juga menuntut pampasan dan kos.

Bagaimanapun, ia tidak menyebut jumlah yang dituntut daripada Petronas.

Dalam saman itu, kerajaan Kelantan berkata Perjanjian Petroleum Kelantan yang ditandatangani pada 9 Mei 1975 dengan jelas menyebut bahawa Petronas perlu membayar secara tunai hasil minyak sebanyak lima peratus, sama ada bagi hasil cari gali di daratan atau luar pantai.

Satu fasal dalam perjanjian itu menyebut bahawa pembayaran perlu dibuat dalam bentuk tunai dua kali setahun pada atau sebelum 1 Mac dan pada atau sebelum 1 September.

Kerajaan Kelantan menamakan Petronas sebagai satu-satunya defendan sebelum kerajaan Persekutuan berjaya dalam permohonannya sebagai pencelah untuk dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman itu.

Pada Julai 2014, Mah-kamah Persekutuan mengarahkan saman sivil itu hanya diputuskan berdasarkan perosalan undang-undang tanpa perbicaraan penuh mengikut Perintah 14A Peraturan-Peraturan Mahkamah 2012.

Sejumlah sembilan persoalan undang-undang dikemukan iaitu enam oleh Petronas dan tiga oleh Mahkamah Persekutuan untuk ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Kelantan memohon untuk memasukkan 14 persoalan undang-undang tambahan untuk diputuskan oleh Mahkamah Tinggi tetapi permohonan mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 10 April, 2015. Bernama

Advertisement