Anda di sini

Komuniti Bisingai tarik balik tuntutan mahkamah

Advertisement
Henry (tengah) bersama komuniti Bisingai di luar Mahkamah Kuching selepas sebulat suara menarik balik tuntutan mahkamah terhadap kerajaan negeri berhubung isu tanah Pimu'ung.
Henry (tengah) bersama komuniti Bisingai di luar Mahkamah Kuching selepas sebulat suara menarik balik tuntutan mahkamah terhadap kerajaan negeri berhubung isu tanah Pimu'ung.

KUCHING: Komuniti Bisingai di Bau hari ini menarik balik tuntutan terhadap Kerajaan Negeri dan lapan agensi serta syarikat berhubung isu tanah Pimu’ung mereka.

Keputusan untuk menarik balik tuntutan tersebut dicapai sebulat suara di Mahkamah Tinggi di sini pada sebutan kes di hadapan Hakim Stephen Chung.

Bercakap kepada pemberita selepas sebutan kes, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep memberitahu, keputusan untuk menarik balik tuntutan ini telah dicapai sebulat suara oleh komuniti Bisingai selepas beberapa siri rundingan.

Malah beliau menyifatkan keputusan tersebut sebagai langkah terbaik oleh komuniti Bisingai dalam mengendalikan kes melibatkan isu tanah hak adat bumiputera (NCR) mereka.

“Saya mewakili komuniti Singai dan juga kerajaan berterima kasih kepada semua ketua masyarakat dan ketua kaum di kawasan Singai kerana telah bersatu padu dalam menyelesaikan isu ini.

“Saya yakin kerajaan negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg akan mendengar isi hati kita Bisingai dan memenuhi tuntutan kita untuk mendapatkan hak-hak ke atas tanah Pimu’ung kita,” katanya.

Sementara itu jurucakap bagi komuniti Bisingai, Granda Aing berharap kerajaan akan mempercepatkan kerja-kerja penyukatan tanah Pimu’ung mereke dan mengeluarkan surat hak milik tanah di bawah NCR.

“Kami menghargai keprihatinan ketua menteri dan timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk mempertimbangkan tuntutan kami ini dan kami sedia berunding secara muafakat dengan kerajaan dan agensi yang terlibat dalam menyelesaikan isu ini,” katanya.

Dalam pada itu kawasan tanah Pimu’ung bagi komuniti Bisingai adalah seluas 14,000 ekar melibatkan 12 buah kampung dengan populasi penduduk seramai hampir 20,000 orang.

  • oleh
  • Advertisement