Anda di sini

GIAT BERLATIH UNTUK MENCAPAI KECEMERLANGAN

Advertisement
 

Apakah persamaan yang dimiliki The Beatles, Warren Buffet, David Beckham, Mokhtar Dahari dan Bill Gates? Mereka semua terkenal, berbakat dan sangat cemerlang dalam bidang masing-masing. Tetapi yang penting sekali adalah mereka mencapai tahap kejayaan semasa mereka dengan melakukan sesuatu yang sama - mereka mencurahkan seluruh hati dan jiwa, darah dan air mata untuk “meraih” kesempurnaan melalui banyak latihan.

Ada pepatah yang mengatakan:

“Genius adalah 1% inspirasi dan 99% keringat (usaha).”

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Anders Ericsson dan sekumpulan ahli sains, mereka mendakwa bahawa mereka mengetahui berapa banyak ‘usaha” yang diperlukan untuk mencapai kecemerlangan -- rupa-rupanya 10 tahun atau 10,000 jam.

Ericsson menulis: “Ramai orang percaya mereka dilahirkan dengan beberapa keterbatasan. Tetapi terdapat amat sedikit bukti kukuh yang menunjukkan orang boleh melakukan hal yang luar biasa tanpa menghabiskan banyak masa untuk menyempurnakannya.”

Buku Outliers tulisan Malcolm Gladwell memperkukuhkan lagi hal ini dengan pernyataan bahawa seseorang akan menjadi hebat dengan melakukan banyak latihan.

Bagaimana mencapai kehebatan? 

The Beatles

Sehingga kini, The Beatles tetap merupakan kugiran terlaris sepanjang masa. Tetapi kejayaan mereka tidak datang semalaman. Dalam bukunya, Gladwell menjelaskan bagaimana The Beatles menjadi sangat hebat. Mereka membuat persembahan selama berjam-jam di ruang bawah tanah di Hamburg, Jerman tanpa menerima ganjaran yang banyak atau penghargaan yang melimpah-limpah. Cuma masa latihan yang banyak.

Menurut John Lennon, mereka membuat persembahan selama lapan jam setiap malam, tujuh hari seminggu selama 270 malam walhal kebanyakan kumpulan muzik pada waktu itu (dan mungkin juga pada masa sekarang!) hanya melakukan persembahan selama sejam seminggu.

Fab Four

Pada awal kemunculan Fab Four, mereka telah membuat persembahan secara langsung sebanyak 1200 kali!. Kebanyakan kugiran pada hari ini juga tidak pernah membuat persembahan muzik sebanyak itu sepanjang kerjaya mereka. Persembahan secara langsung sebanyak 1200 kali itu merupakan satu faktor yang membezakan.

Warren Buffet

Warren Buffet terkenal sebagai pelabur terhebat di dunia. Kejayaannya dicipta berdasarkan sifat disiplin, kerja keras dan latihan semata-mata. Dia mengamalkan disiplin “strategi mental” dalam pelaburan selama bertahun-tahun sehingga dia menjadi pakar dalam pelaburan.

Beckham

Beckham juga tidak jauh berbeza.  Pemain bola sepak, yang terkenal dengan tendangan bebasnya yang berkesan dan merbahaya, tidak dilahirkan dengan kemahiran-kemahiran tersebut. Pada mulanya, dia berlatih tendangan bebas untuk menarik perhatian ayahnya. Tendangannya kemudian menjadi tanda dagangannya.  

Sir Alex Ferguson berkata:

“Dia berlatih dengan disiplin yang tinggi untuk mencapai ketepatan yang tidak dihiraukan oleh pemain lain.”

Selepas selesai sesi latihan, Beckham akan tetap di padang dan meneruskan latihan -- 500 tendangan bebas sehari, 180,000 tendangan bebas setahun. Akhirnya, latihan yang tidak mengenal penat lelah itu menjadikannya pemain cemerlang yang mempamerkan kebolehan dan bakat yang luar biasa.

Bill Gates

Apa pula cerita Bill Gates? Seorang yang pintar dalam bidang komputer yang tercicir dari Universiti Harvard kini merupakan orang yang terkaya di dunia. Gates belajar di sebuah sekolah elit yang membolehkannya menggunakan komputer. (Masa itu adalah pada sekitar tahun 60-an di mana universiti-universiti belum mempunyai komputer!) Ini membolehkannya melakukan pemprograman. Pada masa itu, dia cuma berumur 14 tahun!

Disebabkan keghairahannya melakukan pemprograman lapan jam sehari, tujuh hari seminggu, dia tidak menyertai aktiviti olahraga, curi-curi keluar selepas waktu tidur, menggodam kata laluan, dan bercakap bohong. Dia berbuat demikian supaya mempunyai masa yang lebih untuk membuat pemprograman. Pada ketika dia tercicir dari Universiti Harvard, dia sudah melakukan 10,000 jam pemprograman!

Latihan menjadi penentu

Kejayaan hanya dapat dicapai melalui latihan yang keras, menyakitkan dan dengan pemerhatian yang tinggi. “Ia boleh mengambil masa 10 tahun atau 10,000 jam latihan untuk menjadi cemerlang dalam sesuatu bidang”, kata George Kohlrieser, pengurus kepimpinan IMD. Dia percaya bahawa bakat dan tuah sangat penting, tetapi latihanlah yang menentukan sama ada seseorang menjadi baik atau hebat. Apakah maksud ini semua?

Dunia kita pada masa ini adalah dunia “segera” -- mee segera, kopi segera, keuntungan segera, bahkan kita mahu melahirkan pemimpin “segera” dengan menggunakan buku panduan One Minute Manager.  

Hakikatnya, kita perlu memperuntukkan banyak masa untuk menjadi luar biasa dan hebat. Kita mahu melahirkan pemain bola sepak bertaraf antarabangsa di Malaysia tetapi kita cuma mengadakan latihan rasmi bola sepak untuk kanak-kanak pada usia 12 tahun, sedangkan kumpulan seperti Everton mula mengembangkan bakat Wayne Rooney seawal usia empat tahun. Dan kita hairan mengapa kita tidak memiliki pemain bola sepak yang unggul? Tidak ada jalan pintas untuk menjadi seorang genius.

Kita juga boleh membuat kesimpulan yang sama untuk kepimpinan. Tidak ada orang yang boleh menjadi pemimpin yang hebat tanpa berusaha. Untuk melahirkan seorang pemimpin, kita perlu menyediakan bakal pemimpin itu dengan pendedahan awal dan latihan kepimpinan dari masa dia di bangku sekolah lagi. Mengapa tidak ada kelab kepimpinan yang khusus di sekolah-sekolah yang membolehkan anak-anak kita belajar mengenai kepimpinan?

Sesetengah pihak percaya seseorang tidak perlu berusaha untuk menjadi hebat dalam sesuatu hal. Sayangnya itu tidak benar. Untuk menjadi pemimpin yang hebat, seseorang perlu menggiatkan masa latihannya.

Tetapi ada satu masalah: bagaimana seseorang boleh berlatih untuk mengurus perniagaan? Terdapat banyak aspek dalam bidang perniagaan yang seseorang boleh berlatih untuk menambah baik prestasi, misalnya cara membuat penyampaian, berunding , membentang penaksiran, menyampai penyata kewangan. Bahkah seseorang juga boleh berlatih dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan dalam bidang pengurusan seperti memberi maklum balas tentang prestasi, menulis laporan dan menggaji pekerja yang tepat.

Nasihat Mokhtar Dahari 

Saya teringat semasa saya masih kecil dan bermain bola sepak di bawah penyeliaan Mokhtar Dahari sebagai jurulatih saya. Mokhtar adalah seorang jurulatih yang gigih, yang selalu mendorong kami melepasi had batasan kami semasa latihan. Pada suatu hari, saya bertanya kepadanya tentang gol yang dijaringkannya semasa perlawanan dengan England. Beliau menjawab: “Agaknya saya bernasib baik pada ketika itu.” Kemudian beliau berpaling kepada saya dan berkata:

“Tetapi Roshan, kamulah yang menentukan nasib kamu sendiri. Semakin banyak kamu berlatih, semakin bertuah akan kamu jadi. Jadi, berhenti bertanya dan mulalah berlatih!”

Saya mengikut nasihatnya dan tidak lama kemudian saya terpilih menyertai pasukan negeri.

Kesimpulan

Ang Hui Ming, yang bersama-sama saya menubuhkan Leaderonomics, pernah berkata:

“Kepintaran bukan dikhaskan kepada beberapa orang yang istimewa sahaja.”

Latihan memang tidak mudah. Sekiranya ia begitu mudah untuk mencapai kejayaan besar, pencapaian itu bukan istimewa lagi. Jadi, kalau anda ingin menjadi seorang yang pintar atau cemerlang, berlatih, berlatih, berlatih. Anda pasti berjaya!

Roshan Thiran ialah Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics. Anda boleh menghubunginya melalui e-mel [email protected] atau media sosial  Facebook, LinkedIn atau Twitter @lepaker

Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel [email protected]

Sumber

  • oleh
  • Advertisement