Anda di sini

Destinasi bajet RM300 ke RM500 bersama Nadia Hasnan di TV1

Advertisement

BERITA baik pastinya kepada anda yang suka bercuti sambil menikmati keindahan alam semulajadi.

 Hanya dengan bermodalkan bajet antara RM300 hingga RM500, anda berpeluang bercuti ke destinasi percutian menarik dalam negara pilihan anda.

 Namun bagaimanakah caranya? Menerusi program terbaharu yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk ‘3 Ke 5 Jerr’ yang menampilkan pengacara Nadia Hasnan, bajet tersebut yang merangkumi perbelanjaan pengangkutan, aktiviti, makanan dan penginapan dikongsikan dengan semua penonton.

 Menemui penonton mulai 24 Julai (hari ini), setiap Isnin, jam 2.30 petang di TV1, 13 episod rancangan akan memfokuskan kepada destinasi percutian yang menarik di Malaysia termasuk budaya dan makanan setempat.

 Tips-tips berkaitan dengan percutian serta cadangan akan dikongsi bersama penonton dengan bajet yang berpatutan.

 Ini dapat menggalakkan semua golongan rakyat Malaysia menyahut seruan kerajaan dalam kempen Cuti-Cuti Malaysia.

 Pengembaraan Nadia bermula dari Kuala Lumpur ke Gopeng dimana dia berkongsi maklumat tentang sejarah bandar Gopeng yang terkenal dengan aktiviti melombong bijih timah, melawat Muzium Gopeng, melakukan aktiviti ‘water rafting’ di Kampung Jahang, mendaki Bukit Batu Putih serta menerokai Gua Kandu.

 Keterujaan Nadia mengembara diteruskan ke Kuala Berang, Terengganu dengan menaiki bas selama 7 jam.

 Nadia disambut oleh wakil syarikat pelancongan dan dibawa ke Rumah Rehat Kuala Berang.

 Percutian dimulakan dengan aktiviti berbasikal ke Replika Batu Bersurat dan Pusat Konservasi Hidupan Liar untuk melawat tuntung, berkayak di Sungai Berang, lawatan ke Pasar Ratu Kuala Berang.

 Esoknya Nadia ke Tasik Kenyir dan aktiviti yang dilakukannya ialah mandi bersama ikan kelah di Santuari Kelah Sungai Petang, lawatan ke Taman Herba dan Pusat Konservasi Gajah Tasik Kenyir.

 Dalam episod seterusnya, Nadia menaiki kereta api ke Taiping meninjau sekitar Stesen Kereta Api Lama Taiping yang telah dijadikan sebagai warisan oleh kerajaan, melawat haiwan di Zoo Taiping & Night Safari, mengembara ke Bukit Larut, mencuba pakej ‘Fun Ride’dengan kenderaan ATV di ATV Adventure Park Larut dan juga menunggang kuda di Taiping Lake Garden Equine Park.

 Sementara itu di Jertih, Terengganu Nadia menyewa sebuah kereta untuk kegunaan percutiannya di daerah Besut.

 Lokasi dituju Balai Seni Wanpo untuk melihat keindahan seni ukiran yang sememangnya terkenal di Terengganu, berendam di kolam air panas, melakukan aktiviti ‘trekking’ ke Bukit Keluang, Besut, mandi air terjun di Hutan Lipur Lata Belatan, menangkap belut bersama penduduk Kampung Kubang Depu dan kemudian bersantai di Pantai Bukit Keluang.

 Dalam episod di Kuala Kangsar, beliau singgah di gerai menjual labu sayong dan kemudiannya mempelajari dan mencuba proses menghasilkan labu sayong.

 Seterusnya Nadia melawat ke Muzium DiRaja Kuala Kangsar, mengunjungi Galeri Arkeologi Lembah Lenggong yang tarikan utamanya ialah rangka manusia tertua Malaysia iaitu ‘Perak Man’.

 Lokasi seterusnya ialah ke Karai meninjau ‘Victoria Bidge’, jambatan kereta api yang tertua di Malaysia.

 Laksa Karim yang terkenal merupakan antara menu yang dicuba oleh Nadia sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

 Nadia kemudiannya menaiki kereta api ETS dari KL Sentral dan turun di stesen KTMB Arau, Perlis.

 Antara lokasi dikunjungi Taman Ular & Reptilia, memandu ke Gua Kelam, menikmati makanan laut di Kuala Perlis pada waktu malam.

 Aktiviti diteruskan dengan menerokai Gua Wang Burma I & II dan diakhiri melawat ke Padang Besar, lokasi membeli belah yang wajib dilawati di Perlis.

 Lokasi percutian Nadia dalam episod kali ini ialah di Desa Lestari, Kampung Bujang, Sg. Merbok, Kedah.

 Aktiviti dilakukan menaiki bot dari Jeti Semeling ke Jeti Tanjung Dawai, melawat Arked Tanjung Dawai, mengunjungi Tapak Arkeologi untuk melihat artifak sejarah dan pada malamnya beliau disajikan dengan persembahan Gendang Silat.

 Nadia mengunjungi Galeri Seni Kampung Bujang, menikmati hidangan tengah hari di tepi sawah serta ke Ternakan Kelulut Madu sebelum menuai serta membanting padi di sawah.

 Nadia memulakan perjalanan dari Ampang menuju ke Ulu Tamu, Batang Kali dengan menggunakan pacuan 4 roda bersama kumpulan 4W4C.

 Kali ini Nadia terlibat dengan percutian lasak di mana perjalanan tersebut mengambil masa 1.

5 jam.

 Cabaran diterima terpaksa meredah 2 buah sungai sebagai halangan pertama.

 Nadia bersama kumpulan tersebut membuat tugasan masing-masing seperti memasang khemah, memasak, memancing ikan di jeram berhampiran dan sebagainya.

 Nadia kemudiannya ke Taman Negara, Pahang melakukan aktiviti ‘jungle trekking’ bermula ke Bukit Terisek dan kemudiannya melalui titian kanopi yang merupakan yang terpanjang di dunia, melakukan aktiviti ‘nightwalk’, menyusuri 5 jeram dengan menaiki bot pancung dan melawat Perkampungan Dedari milik orang asli suku kaum Bateq.

 Nadia juga terlibat dengan ‘Night Safari’ bagi meninjau hidupan pada waktu malam.

 Destinasi seterusnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Hutan Lipur Ulu Bendul melawat Taman Ular Ulu Bendul, merasai pengalaman memberi makan rusa, angsa, burung unta, pelbagai jenis ayam dan burung, melakukan aktiviti memanah di kawasan ladang serta menunggang kuda juga melawat Muzium Diraja Seri Menanti.

 Destinasi yang patut dicuba ke Pulau Carey, Selangor mengunjungi Perkampungan Budaya Mahmeri, Kampung Orang Asli Sungai Bumbun.

 Nadia melihat satu acara perarakan kaum Mahmeri dari kampung mereka ke kawasan pantai bagi satu upacara keagamaan serta beliau juga sempat menggayakan pakaian tradisional dari kulit kayu pokok terap.

 Nadia turut ke Bukit Jugra melakukan aktiviti luncur udara @ ‘paragliding’ melihat pemandangan Pulau Carey serta makam Sultan Abdul Samad.

 Destinasi terakhir Paya Indah Wetlands bagi melihat binatang seperti badak air, buaya dan burung undan.

 Beberapa lagi destinasi menarik turut dikunjungi dan dijelajahi Nadia, justeru pastikan anda menyaksikan keseluruhan program ini hanya di TV1.

Advertisement