Anda di sini

Pengarah syarikat didakwa terima deposit haram RM16 juta

Advertisement
 Kok semalam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di Petaling Jaya atas tiga pertuduhan menerima deposit lebih RM16 juta tanpa lesen dan lima pertuduhan menggunakan wang milik seorang lelaki berjumlah RM220,560. — Gambar Bernama
HADAPI PERTUDUHAN: Kok semalam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di Petaling Jaya atas tiga pertuduhan menerima deposit lebih RM16 juta tanpa lesen dan lima pertuduhan menggunakan wang milik seorang lelaki berjumlah RM220,560. — Gambar Bernama

PETALING JAYA: Seorang pengarah syarikat minyak pelincir semalam dihadapkan di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini atas tiga pertuduhan menerima deposit lebih RM16 juta tanpa lesen dan lima pertuduhan menggunakan wang milik seorang lelaki berjumlah RM220,560.

Kok Chee Boon, 34, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar dan Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Di Mahkamah Sesyen, Kok didakwa menerima deposit daripada orang awam berjumlah RM15,163,200 tanpa lesen sah di nombor 12A, Jalan PJU 3/45 Sunway Damansara Technology Park, Kota Damansara, di sini, antara April hingga Disember 2014.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menerima deposit daripada orang awam berjumlah RM998,000 tanpa lesen sah di Hong Leong Bank, Perdana The Place, Damansara Perdana di sini, antara Ogos hingga November 2014.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama berjumlah RM48,400 di UOB, cawangan Kota Damansara, Jalan PJU 5/8, Dataran Sunway, Kota Damansara, antara Januari hingga November 2015.

Kok didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim tidak menawarkan jaminan, bagaimanapun sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin beliau memohon jaminan RM1.6 juta dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Al-Firdaus Shahrul Naing memohon jaminan rendah atas alasan penjamin adalah bapa tertuduh yang hanya bekerja sebagai jurujual sambilan.

Mohammed Mokhzani membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta berserta cagaran dengan dua penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan dan menetapkan 21 Ogos untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret pula, Kok mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan menggunakan harta milik Wong Chun Kee, 40, iaitu wang berjumlah RM220,560 yang berada dalam akaun Hong Leong Bank di Aerosia Holding Sdn Bhd, Jalan Puteri 1/2, Bandar Puteri Puchong, di sini, antara 29 Nov 2015 dan 16 Feb 2016.

Bagi semua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan sama yang diperintahkan Mahkamah Sesyen dan menetapkan 25 Ogos untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement