Anda di sini

Lelaki Myanmar dipenjara intai wanita di tandas hospital

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbuatan seorang lelaki Myanmar mengintai seorang wanita di tandas sebuah hospital terbongkar apabila dia terbatuk menyebabkan mangsa menyimbah air terhadapnya selain membuat laporan polis yang membawanya ke penjara.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhi hukuman penjara tiga bulan terhadap Raju, 36, selepas dia mengaku bersalah mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 36 tahun di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini, semalam.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 10 Julai lepas.

Raju didakwa dengan niat mengaibkan kehormatan operator kilang itu dengan mengintai mangsa di tandas perempuan Hospital Ampang, Jalan Mewah Utara, Pandan Mewah dekat sini hingga mengganggu kesantunan mangsa pada jam 11.45 malam, 9 Julai lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa pergi ke hospital itu bersama-sama suaminya untuk menghantar ibunya yang dimasukkan ke wad sebelum ke tandas.

Semasa di tandas, dia terdengar bunyi seseorang batuk menyerupai suara lelaki di tengah tandas dan melihat bayang-bayang tertuduh sedang mengintai dari ruang bawah tandas lalu mengambil air dan menyimbah ke arah tertuduh.

Mangsa turut memanggil suaminya lalu mereka mengetuk pintu tandas yang dimasuki tertuduh dan selepas berkali-kali disuruh membuka pintu, tertuduh akhirnya berbuat demikian dan memberitahu bahawa dia sakit perut serta pening kepala.

Pengawal keselamatan hospital kemudian menahan tertuduh dan membuat laporan polis.

Ketika rayuan, Raju yang tidak diwakili peguam memberitahu dia hanya bekerja mencari besi buruk dan memohon hukuman ringan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira tertuduh merupakan rakyat Myanmar yang ke Malaysia untuk mencari perlindungan, namun melakukan kesalahan serius dan mengaibkan kaum wanita. — Bernama

Advertisement