Anda di sini

Lelaki mengaku bersalah ugut bapa sendiri dipenjara dua bulan

Advertisement

MIRI: Gara-gara melakukan ugutan jenayah terhadap bapa sendiri, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret semalam.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 8 Julai lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Wong Sheng Yuen, 32, dari Jalan Sibu, Taman Tunku di sini telah dituduh melakukan ugutan jenayah dengan niat menakutkan Wong Ngia Heng, 61.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.30 malam, 4 Julai lalu di rumah keluargannya di Jalan Sibu, Taman Tunku di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa sebutan pertama kes pada 11 Julai lalu, tertuduh telah mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.

Tertuduh yang gagal mengemukakan wang jaminan RM2,000 berserta dua penjamin tempatan diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu pengurusan kes semalam.

Pendakwaan dilakukan AP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili.

Dalam kes berasingan, seorang tukang tarik kereta diperintahkan Mahkamah Majistret pagi semalam supaya dibebas dengan jaminan RM2,800 berserta dua penjamin tempatan setelah menafikan tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap bapa kandungnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Julai ini untuk pengurusan kes.

Cheng Han Chung, 35, dari Kampung Tudan di sini telah dituduh melakukan ugutan jenayah terhadap Cheng Yong Hou, 58, dengan mengugut hendak membakar rumah dan membunuh mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.30 malam, 17 Julai lalu di rumah keluarganya di Kampung Tudan di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Advertisement