Anda di sini

Kes lapan maut di Jempol, sebutan semula kes 18 Ogos

Advertisement

JEMPOL: Kes pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan meragut lapan nyawa di Jalan Bahau-Kerotong akan disebut semula pada 18 Ogos ini.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah untuk menangguhkan prosiding semalam bagi melengkapkan dokumen pendakwaan.

Wan Ahmad Hijrah berkata permohonan penangguhan tersebut dibuat memandangkan pihaknya masih menunggu laporan kimia Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Katanya, mahkamah turut membenarkan tertuduh dilanjutkan jaminan hingga sebutan semula kes.

Pada 15 Jun lepas, Mahkamah Majistret Jelebu membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan syarat tambahan, pasport diserahkan ke mahkamah dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Semalam, tertuduh Norzailan Omar, 44, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau di sini bagi sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu secara berbahaya tanpa mengambil perhatian tentang segala hal termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta lalu lintas yang boleh dijangkakan atau mungkin ada dijalan itu sehingga menyebabkan kematian lapan pemandu dan penumpang Proton Exora serta Perodua Myvi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga maksimum 10 tahun dan denda RM20,000 serta lesen memandu digantung selama tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian jam 2.20 petang pada 11 Jun lepas, lapan maut dengan enam daripadanya rentung manakala seorang cedera dalam kemalangan babit tiga kenderaan dan sebuah treler yang membawa muatan sawit di KM25 jalan Bahau-Keratong di sini.

Mereka yang rentung ialah enam sekeluarga yang menaiki Proton Exora iaitu pemandu Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim, 51, dan isteri Masnoraida M Yusoff, 45 serta empat anak mereka Wan Muhammad Muhaimin, 22, Wan Nor Athirah, 18, Wan Mohd Amar Haziq, 13 dan Wan Nor Alisya, 7.

Dua mangsa lain yang turut maut ialah pemandu Perodua Myvi Osman Â Mohamed Taip, 31, dan isteri Rosniza Othman, 32. — Bernama

Advertisement