Anda di sini

Kampung Pituru Darat masih terjejas akibat banjir

Advertisement
 Anggota APM membantu pelajar menyeberangi laluan yang terputus.
HARUNGI BERSAMA: Anggota APM membantu pelajar menyeberangi laluan yang terputus.

KOTA BELUD: Banjir yang melanda sejak Selasa di Kampung Pituru Darat di sini dilaporkan masih belum surut.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kol Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata dari beberapa kampung terlibat banjir di daerah ini Pituru Darat masih terjejas.

“Jalan Pituru Darat juga sehingga kini tidak boleh dilalui berikutan jalan berkenaan masih digenangi air,” katanya.

Menurutnya, jarak jalan yang terputus kira-kira 150 meter menimbulkan kesukaran kepada penduduk kampung untuk melakukan aktiviti harian kerana paras air dilaporkan berada pada 0.4 hingga 0.7 meter.

“Sehingga kini 21 ketua keluarga dan 28 pelajar terjejas disebabkan banjir yang masih melanda kawasan berkenaan,” katanya sambil menambah paras air tiga-tiga sungai utama berada pada paras normal.

Sementara itu beliau berkata, pihak APM turut membantu pelajar dan guru menyeberangi jalan yang terputus tengah hari Khamis.

Tambahnya pihaknya akan terus melakukan pemantauan di lokasi kejadian dan kampung yang berisiko banjir bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Faktor cuaca akan dijadikan panduan bagi pihak APM melakukan pemantauan yang akan dilakukan secara berkala,” katanya.

Mulliadi turut mengingatkan penduduk kampung agar terus menghubungi pasukan keselamatan sekiranya paras air naik secara mendadak agar pihaknya dapat melakukan pemantauan serta tindakan segera.

Advertisement