Anda di sini

JPN hanya terima permohonan individu layak

Advertisement
 Orang ramai yang beratur dari tingkat tiga bangunan JPN untuk memohon MyPR dan MyKas di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah.
PENUH HARAPAN: Orang ramai yang beratur dari tingkat tiga bangunan JPN untuk memohon MyPR dan MyKas di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Orang ramai menyerbu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah di sini sejak beberapa hari lalu, berikutan maklumat palsu yang tular di media sosial.

Mereka berkumpul seawal jam 6 pagi dan berbaris panjang dari tingkat tiga hingga ke tingkat bawah pejabat JPN.

Pengarah JPN Sabah Datuk Ismail Ahmad berkata kejadian dikesan sejak minggu lalu dipercayai disebabkan maklumat palsu yang ditularkan berkenaan pemberian kad pengenalan berwarna merah atau Pemastautin Tetap (MyPR) kepada warga asing di Sabah.

“Ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu mengenai penamatan permohonan MyPR dan kad pengenalan Permastautin Sementara (MyKas) Jumaat lalu.

“Selepas pihak JPN menerangkan perkara sebenar, muncul pula maklumat palsu lain yang mendakwa JPN akan memberikan kad pengenalan kepada warga asing di Sabah,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau diminta mengulas perihal orang ramai beratur panjang di pejabat JPN yang dikatakan untuk memohon MyPR dan MyKas.

Ismail berkata JPN hanya menerima permohonan daripada individu yang layak, manakala bagi pemohon yang tidak layak diarahkan untuk balik dan membuat permohonan dokumen pengenalan lain seperti biasa.

“Kita hanya menerima permohonan MyPR daripada individu yang sudah lama menetap di sini dan memenuhi ciri-ciri ditetapkan oleh undang-undang negara ini.

“Bagi pemegang dokumen IMM13, pelarian dan buruh kasar dari negara luar yang hadir di JPN untuk memohon MyPR diarahkan balik untuk memohon pasport atau dokumen berkaitan yang membolehkan mereka tinggal di sini dengan sah,” katanya.

Katanya, kehadiran pemohon dari pelbagai latarbelakang kini semakin berkurangan selepas JPN membuat hebahan mengenai perkara itu. Bagaimanapun, masih ramai individu beratur di JPN untuk membuat permohonan.

Ismail berkata semua permohonan MyPR dan MyKas melalui proses yang ketat termasuk disemak oleh panel Jawatankuasa Kad Pengenalan Pemastautin Sementara di peringkat ibu pejabat JPN negeri dan Putrajaya.

Advertisement