Anda di sini

24 Ogos sebutan lanjut kes buruh dituduh bunuh isteri

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret semalam menangguhkan sehingga 24 Ogos depan untuk sebutan lanjut kes seorang buruh ladang warga asing yang dituduh membunuh isterinya.

Manakala tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Penangguhan itu dibuat Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan Pegawai Pendakwa ASP Mary Ong.

Dalam permohonannya, Mary memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Ical Samerin, 32, dari Campaga Sulawesi Selatan, Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian isterinya, Ria Sommeng yang juga merupakan warganegara Indonesia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 12.05 pagi hingga 12.30 pagi, 2 Mei tahun ini di hadapan rumah pekerja Ladang Sawit Woodman Kuala Baram, Liku Estate di sini.

Dalam kes berasingan, Mahkamah Majistret menangguhkan sehingga 25 Julai ini untuk sebutan lanjut kes seorang lelaki yang dituduh dengan sengaja mencederakan isterinya.

Manakala tertuduh yang gagal mengemukakan wang jaminan RM3,000 berserta dua penjamin tempatan diperintahkan supaya ditahan lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.

Rody Barak, 32, dari Rumah Kajan, Long Teru, Baram telah dituduh dengan sengaja mencederakan isterinya, Jeaneses Banyang, 26, dengan cara menikam leher mangsa menggunakan sebilah pisau.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 6.30 pagi, 8 Julai lalu di sebuah rumah di Bandar Baru Permyjaya di sini,

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa pengadu dalam kes ini yang juga merupakan bapa mentua kepada tertuduh ingin menarik balik tuduhan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, pengadu tidak hadir di mahkamah semalam.

Justeru, Majistret Zuraini Ali Musa membuat penangguhan singkat untuk kes itu sambil menegaskan pengadu perlu hadir sendiri di mahkamah sekiranya dia ingin menarik balik laporan atau tuduhan terhadap tertuduh dalam kes ini.

Advertisement