Anda di sini

Setiausaha politik perlu fahami, sebar program pembangunan kepada rakyat

Advertisement
 Wan Khalik meniup lilin kek hari jadi sambil disaksikan Abdullah (tiga kiri) bersama yang lain.
SELAMAT HARI JADI: Wan Khalik meniup lilin kek hari jadi sambil disaksikan Abdullah (tiga kiri) bersama yang lain.

KUCHING: Program-program pembangunan negeri diumumkan Ketua Menteri perlu disebarkan oleh setiausaha politik dengan lebih jelas kepada rakyat di peringkat akar umbi agar tidak wujud kekeliruan.

Justeru, Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata untuk melaksanakan tanggungjawab itu dengan berkesan, semua Setiausaha Politik Ketua Menteri perlu memahami setiap butiran program pembangunan itu.

Apa yang diumumkan oleh Ketua Menteri (Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg) perlu disebarkan kepada rakyat.

Kita sebagai setiausaha politik perlu faham dan menyampaikannya kepada rakyat di akar umbi,” katanya ketika berucap pada Majlis Raya Gawai Bersama Setiausaha-Setiausaha Politik di sini, malam kelmarin.

Ia merupakan antara pesanan Ketua Menteri kepada Abdullah agar disampaikan kepada 32 setiausaha politiknya.

Abdullah yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) berkata program pembangunan kerajaan diumumkan Abang Johari selepas mengambil alih jawatan Ketua Menteri perlu disebarkan sebaik mungkin.

Program-program itu merangkumi ekonomi digital, transit aliran ringan (LRT), penubuhan syarikat minyak dan gas, penubuhan Bank Pembangunan Sarawak, Lembaga Pembangunan Luar Bandar Kapit dan lain-lain.

Jangan kita ketinggalan dalam perkara-perkara yang diumumkan dan sebagai setiausaha politik kita perlu memahami apakah bentuk perancangan kerajaan dalam membangunkan negeri,” katanya.

Setiausaha politik juga katanya, perlu bekerjasama rapat dengan wakil rakyat di kawasan mereka kerana matlamat perjuangan adalah sama - membangunkan rakyat dan negeri.

Jika ada masalah peribadi, mereka perlu mengetepikannya demi tugas dan tanggungjawab.

Seelok-eloknya setiausaha politik berjumpa dengan wakil rakyat terbabit dan menjelaskan bahawa beliau menjalankan tanggungjawab diamanahkan Ketua Menteri.

Kerjasama antara dua pihak ini akan melicinkan tugas memberi penjelasan kepada rakyat.

Semua setiausaha politik harus mengelak daripada sebarang perlakuan yang akan mencalar nama baik Pejabat Ketua Menteri atau persepsi negatif terhadap kerajaan,” katanya.

Malah, setiausaha politik juga perlu peka dan sensitif mengenai perihal kebajikan masyarakat.

Kita harus berani melaporkan kepada agensi kerajaan yang berkaitan jika ada ahli masyarakat yang memerlukan bantuan,” jelasnya.

Majlis tersebut turut meraikan ulang tahun kelahiran Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri Wan Khalik Wan Muhammad.

Advertisement