Anda di sini

Rahman kunjungi Timbalan Setiausaha Agung PBB, bincang pelbagai isu

Advertisement
 Rahman mengadakan pertemuan dengan Amina di Ibu Pejabat PBB.
KUNJUNGAN HORMAT: Rahman mengadakan pertemuan dengan Amina di Ibu Pejabat PBB.

NEW YORK: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan membuat kunjungan hormat ke atas Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amina J Mohammed di ibu pejabat PBB pada Rabu.

Di dalam perbincangan selama 30 minit itu, beliau telah berbincang mengenai pencapaian Malaysia dan menekankan unsur kepelbagaian sebagai kekuatan teras negara Malaysia. Dengan itu, Malaysia mempunyai segala asas yang diperlukan untuk pelaksanaan sasaran SDG.

Saya berasa sangat bersyukur kerana Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) begitu selari dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) kita,” katanya kepada media selepas perjumpaan itu.

Rahman juga menyatakan bahawa sejak Malaysia merdeka, kerajaan telah membuat keputusan untuk melabur di dalam sektor pendidikan demi kemajuan negara.

Beliau juga memaklumkan bahawa Malaysia sentiasa menekankan pendidikan walaupun negara lain mengutamakan aspek lain.

Kita telah membelanjakan 21 peratus daripada perbelanjaan kerajaan untuk tujuan pendidikan, dan ini merupakan antara jumlah yang tertinggi berbanding negara lain.”

Beliau juga menjelaskan kepada Amina bahawa Malaysia telah mengambil langkah untuk mempelbagaikan ekonominya yang sebelum ini sangat bergantung kepada sektor minyak dan gas untuk penjanaan pendapatan.

Sewaktu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil alih pentadbiran negara pada 2009, sebanyak 41 peratus hasil kerajaan Persekutuan diperolehi daripada pendapatan minyak dan gas, dan pada hari ini, peratusan ini telah dikurangkan kepada 14 peratus.

Ini kerana, Perdana Menteri telah mengenal pasti keperluan untuk mempelbagaikan ekonomi negara dengan menuju ke arah industri yang berunsurkan perkhidmatan seperti automasi dan pendidikan,” katanya.

Sebelum perbincangan berakhir, Rahman membangkitkan satu isu yang sedang dihadapi oleh Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU), di mana sebuah resolusi yang dikemukakan baru-baru ini mempersoalkan tentang kemampanan dalam penghasilan minyak sawit, dan ia telah menjejaskan jutaan rakyat Malaysia secara langsung dan tidak langsung.

EU di dalam resolusi itu menyatakan hasrat untuk mengenakan penalti dan mengurangkan import dari Malaysia.

Saya percaya dalam keadaan sebegini, kita akan terus bekerjasama dengan pihak Kesatuan Eropah dan PBB, kerana minyak sawit adalah mampan dan dengan resolusi itu, ia akan hanya menjejaskan ekonomi rakyat Malaysia khususnya yang datang dari kawasan luar bandar,” jelasnya.  

Advertisement