Anda di sini

Program Mobile CTC merakyatkan perkhidmatan awam: Nancy

Advertisement
 Nancy (tiga kiri) dan Awla (empat kanan) sempat bergambar bersama tetamu lain.
UNTUK KENANGAN: Nancy (tiga kiri) dan Awla (empat kanan) sempat bergambar bersama tetamu lain.
 Awla menunjukkan demonstrasi cara-cara mengendalikan gas pemadam api.
PENTING: Awla menunjukkan demonstrasi cara-cara mengendalikan gas pemadam api.

DAERAH Simunjan telah dipilih sebagai lokasi ketiga Program Mobile Community Transformation Centre (CTC) untuk tahun 2017 yang diadakan di Sarawak.

Program selama dua hari itu (15-16 Julai) dianjurkan oleh Perbendaharaan Malaysia Sarawak, Kementerian Kewangan Malaysia dengan kerjasama Pejabat Residen Samarahan dan Pejabat Daerah Simunjan.

Ia dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen P200 Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N25 Simunjan, Awla Dris.

Nancy dalam ucapannya berkata, Program Mobile CTC merupakan salah satu inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang merupakan himpunan pelbagai perkhidmatan bergerak kerajaan merentasi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan disasarkan kepada penduduk luar bandar dan pedalaman yang tiada akses mudah kepada perkhidmatan asas kerajaan.

Kementerian Kewangan melalui Unit Strategi Nasional (NSU) dan Perbendaharaan Malaysia Sarawak telah diamanahkan untuk menyelaraskan penubuhan dan pelaksanaan program-program Mobile CTC yang bertujuan untuk mendekatkan perkhidmatan penting kepada rakyat.

Ini menunjukkan betapa seriusnya merakyatkan perkhidmatan awam menerusi program turun padang sebagaimana yang diadakan pada hari ini, bagi menyelami hasrat dan keperluan rakyat,” beliau berucap.

Menurutnya, Program Mobile CTC Sarawak telah dilancarkan dengan rasminya oleh bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Lundu pada 14 Disember 2013 yang pada ketika itu merupakan Menteri di Pejabat Ketua Menteri & Menteri Tugas-Tugas Khas.

Tambah beliau lagi, setakat tahun 2017, sebanyak 19 Program Mobile CTC berskala besar telah berjaya dilaksanakan di seluruh Sarawak manakala 62 Program Mobile CTC berskala kecil telah dilaksanakan secara jerayawara dan mengikuti anjuran agensi kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Ia merangkumi lima komponen utama iaitu menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan utama kerajaan; menyediakan peluang keusahawanan kepada penduduk tempatan; menghimpunkan rakyat pelbagai peringkat dan kaum untuk bersukan, bersosial dan bersukarelawan demi meningkatkan keharmonian rakyat setempat; menyediakan platform untuk membolehkan bantuan kerajaan disalurkan terus kepada kumpulan sasaran dan memberi penerangan serta kesedaran kepada rakyat mengenai dasar, program dan aktiviti kerajaan melalui kementerian dan agensi kerajaan.

Antara perkhidmatan penting dalam Program Mobile CTC adalah seperti perkhidmatan klinik kesihatan, klinik pergigian, pendaftaran syarikat, bantuan kebajikan melalui e-kasih, khidmat nasihat keusahawanan dan lain-lain yang seumpamanya. Ini seiring dengan slogan kerajaan ‘Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’.

Program Mobile CTC turut membolehkan bantuan disalurkan terus kepada kumpulan sasar di kawasan pedalaman. Sesi penerangan dasar-dasar kerajaan juga dapat disampaikan terus kepada rakyat setempat tanpa melalui hebahan media massa atau elektronik.

Selain itu, Program Mobile CTC menyediakan platform untuk rakyat berhimpun mengeratkan silaturahim baik dengan para petugas Mobile CTC lebih-lebih lagi sesama penduduk setempat. Program-program seperti sukaneka, sukan rakyat, pentas rakyat serta kerja komuniti yang diadakan akan mengeratkan hubungan sesama penduduk setempat selain bergembira, bersosial dan memupuk semangat kesukarelawan dalam suasana harmoni,” tambah Nancy lagi.

Beliau juga merakamkan terima kasih kepada Perbendaharaan Malaysia Sarawak, Kementerian Kewangan Malaysia kerana memilih Simunjan sebagai lokasi ketiga Program Mobile CTC Sarawak tahun 2017.  

 Nancy (dua kiri) mencuba kemahiran menerbangkan drone.
TEKNOLOGI CANGGIH: Nancy (dua kiri) mencuba kemahiran menerbangkan drone.
 Pasukan Angkatan Tentera Malaysia membuat persembahan kepada orang ramai.
DEMONSTRASI KETENTERAAN: Pasukan Angkatan Tentera Malaysia membuat persembahan kepada orang ramai.
  • oleh
  • Advertisement