Anda di sini

Malaysia perlu pastikan BRI beri manfaat kepada negara

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memastikan pelaburan yang dirancang dalam inisiatif  ‘Belt and Road’ (BRI) China akan memberi manfaat kepada negara. 

Pengerusi Institut Penyelidikan CIMB ASEAN (CARI)  Tan Sri Dr Munir Majid berkata Malaysia tidak seharusnya terlalu teruja dengan saiz inisiatif China itu dan perlu merundingkan hubungan dua hala yang bersesuaian dengannya. 

Ia adalah suatu yang sangat baik bagi kita, tetapi jangan terlalu teruja dan memikirkan ia akan secara automatik memberi manfaat kepada kita. 

Kita perlu memikirkan apa yang kita mahu daripada inisiatif itu dan merundingkannya bagi kepentingan kita sendiri. China pasti akan berbuat demikian juga,” katanya kepada pemberita selepas Siri Meja Bulat ASEAN  mengenai ‘Inisiatif Belt and Road China di ASEAN: Peluang Ekonomi dan Pemusatan ASEAN’. 

Panel penceramah terdiri daripada Pengarah Urusan Asia-analytica dan Felo Kanan CARI, Pauline Loong, Felo Penyelidikan Institut Pengajian China Universiti Malaya, Dr Zhang Miao, serta Pengerusi World Chinese Economic Summit dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia, Tan Sri Michael Yeoh,

BRI melibatkan lebih dari 65 negara, termasuk beberapa negara ASEAN dan merangkumi pelbagai laluan darat dan laut. 

Pada 2015, China melabur hampir AS$8.3 bilion di ASEAN. Selain itu, jumlah perdagangan antara kumpulan serantau dianggotai 10 negara itu dengan China pada 2015 berjumlah AS$354 bilion, dan menyaksikan trend meningkat sejak 2011.  

Munir, yang terdahulunya mempengerusikan persidangan meja bulat itu berkata BRI akan menyediakan rangsangan bagi menjana nilai ekonomi yang lebih besar kepada ASEAN.

Beliau juga menekankan kepentingan untuk mempunyai strategi negara dan serantau yang jelas berkaitan hubungan dengan China. 

Sementara itu, Loong mengingatkan bahawa meskipun BRI menawarkan prospek yang baik bagi rantau ini dan rantau-rantau lain, butiran terperinci selanjutnya penting dalam menarik sektor swasta, kerana inisiatif itu masih di peringkat awal. 

Terdapat banyak gembar-gembur berkaitan topik itu, tetapi butiran khusus sangat kurang. Setakat ini, kerajaan China dan perusahaan milik kerajaan China merupakan penggerak di belakangnya.

Bagaimanapun, sektor swasta – di China dan juga luar negara – masih teragak-agak berikutan kekurangan butiran terperinci mengenai isu-isu penting, seperti pembiayaan dan keutamaan projek,” katanya. 

Beliau berkata perniagaan juga perlu mengambil kira risiko politik dalam usaha niaga rentas sempadan berskala besar yang dibayangkan dalam BRI. 

Pelan tindakan BRI jangka sederhana dan jangka panjang yang jelas akan banyak membantu dalam meningkatkan keyakinan sektor swasta dan menjadikan inisiatif itu berjaya di ASEAN dan negara-negara lain yang terlibat,” katanya. 

Persidangan meja bulat itu dianjurkan oleh CARI secara kerjasama dengan ASEAN Business Club.  — Bernama

Advertisement