Anda di sini

Kes lelaki dituduh curi besi dibicara lanjut 22 September

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret semalam menetapkan 22 September depan untuk perbicaraan lanjut kes seorang lelaki yang dituduh mencuri dua ikat besi kepunyaan seorang kontraktor.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut RM2,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Shim Chee Leong, 41, dari Desa Senadin di sini telah dituduh mencuri dua ikat besi sepanjang enam meter dan berharga RM2,800 kepunyaan Ngieng Hok Ding.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama dua orang yang masih bebas pada jam 4.50 petang, 20 Jun lalu di sebuah tapak pembinaan rumah di Jalan Hablor, Lutong.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam kes berasingan, Mahkamah Majistret menetapkan 23 Ogos depan untuk perbicaraan lanjut kes seorang lelaki yang menafikan tuduhan dengan sengaja mencederakan seorang wanita.

Manakala tertuduh diperintahkan supaya dibebas dengan jaminan lanjut RM2,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Jimmy Itam, 37, dari Sungai Peking, Tinjar, Baram telah dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan di kedua-dua belah kaki kiri dan kanan Liza Abdullah, 43.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.30 pagi, 1 Jun lalu di sebuah bilik sewa di Taman Seroja di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Advertisement