Anda di sini

Isda Lau muncul juara pusingan pertama snuker Piala Swan City

Advertisement

SIBU: Pemain kurang ternama Isda Lau melakar kejutan dengan mengetepikan saingan Ng Hong Man 3-2 (54-46, 12-58, 52-29, 32-53, 63-43) seterusnya muncul juara pusingan pertama Kejohanan Snuker Piala Swan City yang diadakan di Centre Point di sini, kelmarin.

 Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan piala kemenangan, manakala Ng terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan menerima hadiah wang tunai RM500 dan piala.

 Kejohanan itu turut dikejutkan dengan kekalahan Mark Yeo selaku pemain pilihan utama apabila tumpas kepada Daniel Satem dalam perlawanan ‘straight set’ pada pusingan pertama.

 “Saya bermain seperti biasa di sepanjang kejohanan dan mungkin taktik yang diterapkan dalam permainan telah membuahkan hasil,” kata Lau.

 Ng, yang merupakan juara Kejohanan Snuker Tertutup musim lalu selain turut memiliki rekod tidak pernah kalah terhadap lawannya, pada mulanya diramal tidak akan berdepan masalah untuk mengatasi cabaran Lau yang kurang konsisten.

 Bagaimanapun, Lau mempamerkan persembahan di luar jangkaan dengan menguasai permainan tersebut.

 Sementara itu, tempat ketiga dimenangi Sim Hong Hui dan Daniel Satem dan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM250 dan piala.

 Seramai 55 peserta mengambil bahagian dengan 15 daripadanya adalah muka baharu.

 Perlawanan pusingan kedua akan diadakan di Executive 3 Snooker Centre pada Oktober depan, diikuti pusingan ketiga di Lucky 7 pada Januari 2018 seterusnya di First Class Snooker Centre pada April 2018.

 Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung di Cueball Centre pada Julai 2018.

Advertisement