Anda di sini

Industri insurans hayat dijangka catat pertumbuhan yang tinggi pada 2017

Advertisement

KUALA LUMPUR: Industri insurans hayat Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan satu angka yang tinggi dari segi premium perniagaan baharu pada 2017, menurut Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).

Presidennya Toi See Jong berkata prestasi positif itu akan disokong oleh pertumbuhan ekonomi negara yang lebih baik.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjur mencecah antara 4.3 dan 4.9 peratus pada tahun ini. Oleh itu, industri insurans hayat akan berkembang sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya kepada pemberita di luar majlis Rumah Terbuka Hari Raya LIAM di sini kelmarin.

Pada tahun lepas, premium perniagaan baharu dalam industri meningkat sebanyak 6.9 peratus tahun ke tahun kepada RM9.75 juta.

Toi berkata pelaksanaan platform dalam talian mulai 1 Jan tahun ini, akan membantu meningkatkan pertumbuhan industri.

Rangka Kerja Insurans Hayat dan Takaful Keluarga (Rangka Kerja Hayat) yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia, menyatakan produk berjangka boleh didapati melalui saluran langsung dari 1 Jan.

Ini diikuti dengan penyakit kritikal dan perubatan dan produk takaful/insurans kesihatan pada 1 Jan, 2018. 

Bagaimanapun, Toi berkata premium yang disumbangkan oleh platform dalam talian masih kecil, berikutan ia berada pada peringkat awal pelaksanaan.

Susulan polisi insurans agak kompleks, kami percaya ejen masih memainkan peranan yang penting untuk menjelaskan mengenai produk insurans,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pelbagai program promosi dan pendidikan masih diperlukan untuk meningkatkan lagi tahap kesedaran dalam kalangan orang ramai dan mengurangkan jurang perlindungan insurans. 

LIAM menyasarkan untuk mencapai kadar penembusan insurans hayat sebanyak 75 peratus menjelang 2020, yang pada masa ini sebanyak 55 peratus. — Bernama

Advertisement