Anda di sini

Hari Kebangsaan: Suasana Merdeka 1957 dihidup semula

Advertisement

Antara pengisian acara pada perbarisan, perarakan Hari Kebangsaan 2017

 Dr Salleh bersama Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad ketika sidang media berkaitan Sambutan Hari Kebangsaan 2017 dan Hari Malaysia di kementeriannya semalam. — Gambar Bernama
SIDANG MEDIA: Dr Salleh bersama Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad ketika sidang media berkaitan Sambutan Hari Kebangsaan 2017 dan Hari Malaysia di kementeriannya semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bakal menampilkan kelainan dengan menghidupkan semula suasana sambutan Kemerdekaan pada 1957 di Dataran Merdeka, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017 berkata ia merupakan antara pengisian acara pada perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos ini.

Ketika dunia berasak-asak menuju ke hadapan untuk mencapai kemajuan, kita kadang-kadang terlupa asasnya pemimpin terdahulu bersusah payah untuk memerdekakan negara kita daripada penjajah. Anak-anak mungkin tidak sedar.

Sehubungan itu, kami ingin memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia bahawa Kemerdekaan bukan mudah untuk dicapai. Adalah penting agar rakyat Malaysia berasa terhutang budi kepada pengorbanan pemimpin terdahulu yang berusaha memerdekakan negara.

Kita harus berkorban untuk negara walaupun terdapat perbezaan pandangan politik dan pendekatan, namun soal negara, kita harus bersatu padu agar Malaysia terus mengecapi kejayaan dan kemajuan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Kompleks KKMM di sini semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017 Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Negaraku Sehati Sejiwa’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia tahun ini yang akan diadakan di Kota Kinabalu pada 16 Sept, katanya.

Salleh berkata sempena acara perbarisan dan perarakan pada tahun ini, skrin LED gergasi sepanjang 200 meter panjang dan 9 meter tinggi akan ditempatkan di sekeliling Dataran Merdeka bagi memaparkan kombinasi persembahan di padang, udara serta video dan multimedia bagi memberikan impak penceritaan yang lebih menarik kepada pengunjung.

Beliau berkata sebanyak 12 acara utama dilaksanakan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyampaikan Amanat Merdeka pada 4 petang di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 30 Ogos dan diikuti sambutan Ambang Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sambutan Ambang Merdeka tahun ini terdapat sedikit perbezaan, ia akan diadakan selepas majlis penutupan Sukan SEA. Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.

Beliau menambah acara-acara lain yang bakal mewarnai Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia  termasuk Merdeka My Buddies Run (20 Ogos), Doa Untuk Malaysia (12 Ogos) dan Kayuhan Merdeka (6 Ogos), NBOS@Merdeka (sepanjang bulan Ogos), Merdeka@Komuniti, dan Karnival Hari Malaysia (15-17 Sept). — Bernama

Advertisement