Anda di sini

Umat Islam disaran beli daging, ayam di premis ada sijil halal

Advertisement
 Arifin (dua kanan) menyampaikan hamper kepada Ahmad Jani @Janis Nawawi (dua kiri) mewakili JHEAINS yang diumumkan sebagai johan gerai terbaik. Turut kelihatan Pengarah JAKIM Md Radzi Md Ali (kanan) dan Yusof (tiga kanan).
TERBAIK: Arifin (dua kanan) menyampaikan hamper kepada Ahmad Jani @Janis Nawawi (dua kiri) mewakili JHEAINS yang diumumkan sebagai johan gerai terbaik. Turut kelihatan Pengarah JAKIM Md Radzi Md Ali (kanan) dan Yusof (tiga kanan).

KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini disaran supaya membeli daging dan ayam di premis yang memperoleh persijilan halal sahaja.

Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Penguat Kuasa) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Abidin Ali Hassan berkata ia berikutan dua insiden rampasan ayam yang tidak mendapat persijilan halal sepanjang bulan Ramadan lalu.

Atas sebab itu, umat Islam harus memastikan sesebuah premis itu memperoleh persijilan halal sebelum membuat pembelian ayam/daging di premis berkenaan.

Difahamkan untuk kes di Tawau, orang ramai masih membeli di premis terbabit walaupun selepas rampasan dilakukan.

Oleh itu, kita ingin maklumkan kepada orang awam bahawa kita (JHEAINS) tidak dapat memberi jaminan barangan yang dijual di premis yang tidak mendapat persijilan halal itu sepenuhnya halal.

Maka belilah di premis yang dipersijilkan halal kerana ia satu jaminan bahawa produk yang dijual adalah produk yang halal.

Untuk itu, kita meminta orang awam supaya membeli barangan di premis yang telah dipersijilkan halal sahaja. Pastikan juga sijil itu adalah sijil tulen dan bukan salinan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Raya Perdana Agensi-agensi Islam Negeri Sabah, di Wisma MUIS di sini pada Selasa.

Bagi pihak JHEAINS, mereka akan mengadakan pemantauan dari masa ke semasa untuk memastikan daging dan ayam yang dibekalkan di premis yang mendapat persijilan halal mempunyai sijil halal yang sah.

Katanya, sekiranya didapati premis yang mendapat persijilan halal menjual ayam/daging tiada sijil halal yang sah maka, JHEAINS berhak menarik semula sijil halal premis berkenaan dengan serta-merta.

Untuk makluman, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Negeri Sabah dan kerajaan negeri hanya membenarkan ayam dari negara Belanda sahaja yang dibenarkan masuk (import) ke negeri ini.

Hanya terdapat satu sahaja produk Amerika Syarikat yang dibenarkan masuk ke Sabah iaitu ayam belanda (turkey). Selain itu, tiada produk AS yang dibenarkan masuk ke sini.

Majlis Sambutan Raya Perdana itu turut dihadiri oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah JHEAINS Yusof Abd Abbas.

Pada majlis itu, gerai JHEAINS turut dinobatkan sebagai pemenang gerai terbaik. Berada di tempat kedua ialah gerai JAKIM dan di tempat ketiga pula milik gerai Majlis Ugama Islam Sabah.

Advertisement