Anda di sini

Tiada sasaran pingat

Advertisement

Skuad bola tampar wanita yakin beri cabaran sengit pada temasya KL2017

 Marina (duduk, tiga kiri) bersama yang lain selepas mengadakan pertemuan dengan pasukan bola tampar wanita negara di Sibu, semalam.
YAKIN CIPTA KEJUTAN: Marina (duduk, tiga kiri) bersama yang lain selepas mengadakan pertemuan dengan pasukan bola tampar wanita negara di Sibu, semalam.

SIBU: Malaysia tidak meletakkan sebarang sasaran pingat untuk pasukan bola tampar wanita kebangsaan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang diadakan dari 19 hingga 30 Ogos depan.

 Namun demikian, Chef De Mission Malaysia Datuk Marina Chin optimis pasukan itu mampu mencipta kejutan pada temasya itu nanti.

 “Dengan adanya empat pemain bepengalaman, kita yakin pasukan bola tampar wanita kebangsaan dapat memberi saingan sengit kepada lawan.

 “Semangat dan persefahaman antara pemain begitu tinggi di samping usaha yang kuat diyakini akan dapat memberi kebanggaan kepada kita semua,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

 Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan pasukan bola tampar kebangsaan yang turut mengambil bahagian pada Kejohanan Bola Tampar Jemputan Antarabangsa 2017 di Stadium Bol a Tampar Sibu.

 Marina turut menjelaskan misi pasukan wanita kebangsaan tersebut lebih kepada mencapai sasaran untuk meningkatkan lagi prestasi pemain dalam pasukan.

 Pasukan wanita negara bakal memberi saingan dalam Kumpulan A bersama Thailand, Indonesia dan Myanmar, manakala Vietnam dan Filipina dalam Kumpulan B.

 Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bola Tampar Sibu Datuk Moh Wung Ming berkata, prestasi pasukan wanita kebangsaan tidak jauh ketinggalan berbanding Vietnam yang merupakan pasukan kedua terbaik di belakang Thailand dalam kalangan enam pasukan yang bertanding.

 “Prestasi para pemain kebangsaan kita akan menentukan keputusan nanti kerana kita tidak memberikan sandaran untuk meraih sebarang pingat pada kejohanan tersebut,” ujarnya.

 Kejohanan Bola Tampar Jemputan Antarabangsa 2017 yang sedang berlangsung di sini menyaksikan pasukan wanita kebangsaan bersaing bersama pasukan University Rangsit dari Thailand, pasukan dari Beijing No. 12 Middle School, Universiti Tianjin dari China dan pasukan kebangsaan Hong Kong.

  • oleh
  • Advertisement