Anda di sini

Penjawat awam perlu responsif dan kreatif

Advertisement
 Siringan (tiga kiri) melawat salah sebuah gerai yang mengadakan pameran sempena persidangan CIO.
PAMERAN: Siringan (tiga kiri) melawat salah sebuah gerai yang mengadakan pameran sempena persidangan CIO.

KOTA KINABALU: Penjawat awam di negeri ini disaran supaya mengadaptasi teknologi terkini bagi meningkatkan produktiviti dan sistem penyampaian kerajaan.

Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Siringan Gubat berkata, anggota perkhidmatan awam perlu lebih responsif dan kreatif serta bersedia melaksana pendekatan sistem penyampaian yang lebih inovatif.

Ia bagi memastikan anggota perkhidmatan awam mampu memenuhi kehendak dan ekspektasi rakyat yang semakin meningkat terutama dalam kalangan generasi Y dan Z.

Beliau berkata, penjawat awam perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi supaya perkhidmatan diberi terus relevan kerana suatu hari nanti, perkhidmatan akan diberi secara automatik terus kepada rakyat.

Kini kita berada diambang revolusi industri keempat atau Industry 4.0 di mana percambahan kuasa digital siber dan persekitaran serta benda fizikal mula berlaku. Teknologi seperti Internet-of-Things, Big Data Analytics, Cloud Computing dan Mobile Internet antara teknologi yang perlu dikuasai pada masa ini.

Dengan penggunaan internet tanpa sempadan memerlukan sistem penyampaian perkhidmatan itu boleh dicapai tidak kira bila dan di mana pelanggan berada.

Keberhasilan teknologi bergantung kepada perubahan pemikiran dan penerimaan anggota perkhidmatan awam. Kita yakin generasi muda jika dibimbing dengan betul, mereka akan menjadi pemacu utama dalam arus pembangunan berasaskan Industry 4.0 ini,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Pegawai Maklumat (CIO) Agensi Kerajaan Negeri Sabah 2017, di sini pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Dr Mingu Jumaan berkata, untuk memastikan penjawat awam mampu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi yang pantas ini, perubahan minda terhadap persekitaran kerja perlu dilakukan.

Penjawat awam perlu ingat, perkhidmatan masa kini bukan bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan berbentuk fizikal sebaliknya, ia memerlukan mereka mempunyai pengetahuan tentang teknologi maklumat supaya perkhidmatan kerajaan boleh dicapai tidak kira di mana juga mereka berada.

Ditanya mengenai tahap persediaan CIO untuk mentransformasikan perkhidmatan kerajaan kepada khidmat digital, Mingu berkata CIO memang bersedia 100 peratus namun, pengetahuan mereka perlu dipertingkatkan seiring dengan perubahan teknologi yang terlalu pantas.

Untuk Sabah, permohonan biasiswa negeri mula beralih secara ‘online’. Berkemungkinan pada masa akan datang, permohonan itu tidak lagi memerlukan pelanggan datang ke pejabat mengambil borang.

Mengenai serangan virus ransomware yang berlaku di seluruh dunia pada bulan lalu, Mingu berkata setakat ini tiada aduan diterima daripada mana-mana jabatan tentang sistem mereka terjejas oleh serangan virus itu.

Biarpun cubaan menggodam sistem data kerajaan berlaku namun, ia tidak berjaya menembusi sistem yang ada. Ia berkat usaha Kerajaan Negeri menubuhkan pusat keselamatan bagi memantau serangan penggodam dan virus dari luar.

Bagi Kerajaan Negeri, aspek keselamatan untuk melindungi data-data kita sentiasa menjadi keutamaan. Atas sebab itu, kita sentiasa mempertingkatkan tahap keselamatan sistem data kita dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Persidangan yang dihadiri lebih 200 CIO itu menyaksikan 11 kertas kerja dibentangkan.

Advertisement