Anda di sini

Pengiran Bala kagum dengan semangat juang pemain tempatan ikat Terengganu

Advertisement

KUCHING: Pemangku Ketua Jurulatih Sarawak, Pengiran Bala kagum dengan semangat juang dipamer pemain tempatan ketika mengikat Terengganu tanpa jaringan dalam aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia 2017 di Stadium Negeri, Petra Jaya malam kelmarin.

 Menurut Pengiran, kepercayaan diberikannya terhadap barisan pemain tempatan terutama yang pertama kali diturunkan dibalas dengan kutipan satu mata yang amat berharga.

 Malah jelasnya, pemain tempatan berjaya menyaingi Terengganu malam kelmarin dan hampir mencatat kemenangan meskipun pelawat menurunkan tiga pemain import.

 “Kredit kepada pemain tempatan kerana berjaya mempamer permainan menarik walaupun sebilangan daripada mereka baru pertama kali diturunkan.

 “Saya amat berpuas hati dan bangga dengan semangat juang ditunjukkan pemain sehingga membolehkan kita mengutip satu mata berharga,” komen Pengiran semalam.

 Menurut Pengiran, aksi beberapa pemain baru pada perlawanan tersebut menambat perhatiannya dan beliau tidak menolak kemungkinan akan menurunkan semula mereka pada perlawanan Liga Super menentang PKNS FC di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Sabtu ini.

 Namun, beliau turut akui pemain perlu mempertingkatkan lagi usaha terutama mempertajamkan lagi jentera serangan pada perlawanan seterusnya.

 Mengenai perlawanan kelmarin, Pengiran berkata Sarawak berpeluang mengutip tiga mata penuh jika beberapa peluang terbaik diterjemahkan dengan sempurna oleh barisan penyerangnya.

 Sarawak yang kehilangan Demerson Bruno Costa akibat kecederaan menurunkan kesemua pemain tempatan dalam kesebelasan utama dan merehatkan dua penyerang import, Mateo Roskam dan Milos Raickovic.

 Penyerang import dari Singapura, Sahil Suhaimi juga direhatkan.

 Peluang terbaik tuan rumah untuk menjaringkan gol muncul pada penghujung babak pertama namun percubaan penyerang lincah bertubuh cilik, Mohd Hafiz Abu Bakar sekadar menggegar palang gol.

 Pada penghujung babak kedua, Hafiz sekali lagi dihidangkan peluang keemasan namun gagal menewaskan penjaga gawang lawan, Mohd Suffian Rahman dalam situasi satu lawan satu.

Advertisement