Anda di sini

KGKS rayu elaun pelajar IPG diteruskan

Advertisement

Pelajar Sabah perlu elaun kerana majoritinya datang dari keluarga kurang berkemampuan

KOTA KINABALU: Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) merayu kepada kerajaan supaya tidak memansuhkan elaun pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG).

Presiden KGKS Hussin Basir berkata pemansuhan elaun berkenaan dilihat membebankan kepada guru pelatih IPG.

Setelah meneliti semua tulisan dan keluhan berkenaan isu ini, saya merayu kepada kerajaan agar elaun sara hidup serta perjalanan guru pelatih IPG diteruskan atau sekurang-kurangnya diberikan sebahagiannya.

Ini bagi mengurangkan beban hidup pelajar terutama di Sabah yang majoritinya datang dari keluarga kurang berkemampuan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Jelasnya guru pelatih IPG memerlukan sumber kewangan sebagai persediaan menjadi seorang pendidik kelak.

Jika kita lihat keadaan ekonomi sekarang, kos sara hidup pada masa ini adalah tinggi.

Selain itu, kursus perguruan ini memerlukan kos yang tinggi seperti keperluan mencari bahan melalui Internet dan sebagainya.

Guru pelatih IPG juga perlu menjalankan banyak praktikal sebagai seorang pendidik sebenar dan melibatkan kos perjalanan yang agak tinggi,” jelasnya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan memansuhkan pemberian elaun sara hidup dan perjalanan kepada guru pelatih mulai Jun 2018.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Chong Sin Woon menyarankan guru pelatih ambilan Jun 2018 memohon pinjaman pendidikan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menampung sara hidup mereka.

Namun begitu, Chong berkata bagi pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) sedia ada akan terus menerima elaun sara hidup RM430 sebulan dan perjalanan pergi balik pada kadar maksimum RM500 sekali setahun sehingga tamat pengajian seperti diselaraskan mulai 1 Januari lalu.

Tambahnya, pembiayaan sejumlah RM27,831 bagi empat tahun pengajian PISMP akan diteruskan dan ditanggung oleh kerajaan.

Menurutnya elaun dan yuran kursus di IPG setahun bagi program pra-PISMP sebanyak RM8,163 juga akan dibayar oleh kerajaan.

Advertisement