Anda di sini

Kajian dedah jerung renggut bahu ketika makan

Advertisement
 Gambar fail 3 September, 2011 menunjukkan anak jerung buluh berenang di terumbu karang susulan pembebasannya ke laut di luar pantai Thailand Pattaya. — Gambar AFP
MENARIK: Gambar fail 3 September, 2011 menunjukkan anak jerung buluh berenang di terumbu karang susulan pembebasannya ke laut di luar pantai Thailand Pattaya. — Gambar AFP

PARIS: Bagaimanakah seekor jerung buluh, yang menggunakan sedutan untuk melekap pada mangsanya, menelan makanan yang menggelang-geliut melawan ketika dimakan?

Dengan merenggut bahunya, menurut kajian yang diterbitkan semalam dalam jurnal ‘Proceedings of the Royal Society B’.

Ia dianggap berita besar bagi pakar, yang sudah lama mengandaikan kartilaj berbentuk U antara kepala dan badan wujud hanya untuk mengawal sirip paling depan pemangsa itu.

Tetapi ternyata tidak, menurut penulis utama Ariel Camp, penyelidik pascaijazah doktor falsafah di Universiti Brown di negeri Rhode Island, Amerika Syarikat.

Ikan jerung tiada lidah untuk menggerakkan makanan menerusi mulut.

Mereka mempunyai tekak yang panjang dan perlu sentiasa menggerakkan makanan menerusinya,” menurut beliau.

Jerung buluh yang mencari makanan di dasar laut, mampu membesar kepada semeter dan tidak memudaratkan manusia, lebih menyukai ikan kecil dan invertebrata seperti ketam.

Mereka menggunakan sedutan untuk menangkap mangsa mereka, tetapi Camp mengesyaki kartilaj itu memainkan peranan untuk menolak sesuatu di sepanjang saluran penghadaman.

Untuk mengetahui, beliau dan pasukannya secara strategik mengimplan cebisan karbida tungsten dalam tiga jerung hidup untuk melihat sama ada kartilaj seperti bahu itu bergerak ketika haiwan itu makan dalam suasana makmal.

Mereka menggunakan teknologi canggih ‘X-ray Reconstruction of Moving Morphology’ atau X-ROMM, yang menggabungkan imbasan CT ke atas kerangka tulang dengan filem sinar-X berkelajuan dan beresolusi tinggi.

Ternyata, tidak sampai sesaat selepas mulut melekap pada cebisan sotong atau ikan, ‘tali kendit bahu’ itu dengan cepat berpusing ke belakang dari kepala ke ekor kira-kira 11 darjah. — AFP

Advertisement