Anda di sini

Indeks Harga Pengguna naik 3.6 peratus pada Jun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang digunakan bagi mengukur inflasi, meningkat 3.6 peratus bagi asas tahun ke tahun pada Jun 2017 manakala inflasi teras naik 2.5 peratus.

Menurut Jabatan Perangkaan, antara kumpulan utama yang menyumbang kepada peningkatan IHP itu adalah indeks Pengangkutan (+10.5 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+4.3 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (+3.0 peratus), kesihatan (+2.6 peratus), restoran dan hotel (+2.5 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas serta bahan api lain (+2.2 peratus).

Dalam satu kenyataan semalam, jabatan itu berkata indeks kumpulan pengangkutan itu menunjukkan peningkatan 10.5 peratus pada asas tahun ke tahun bagi Jun 2017, selepas mencatat kenaikan 13.1 peratus pada Mei 2017.

Harga purata 1 liter petrol RON95 adalah RM2.00 pada Jun 2017 berbanding RM1.70 pada Jun 2016 manakala bagi petrol RON97, harga purata adalah RM2.27 pada Jun 2017 berbanding RM2.05, sebelum ini.

Perbelanjaan bahan api dan pelincir untuk pengangkutan persendirian pula menyumbang 7.8 peratus daripada wajaran IHP.

Pada bulan berkenaan, indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 30.2 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 4.3 peratus didorong oleh indeks subkumpulan makanan seperti minyak dan lemak (+39.4 peratus), ikan dan makanan laut (+7.2 peratus), daging (+4.2 peratus), buah-buahan (+3.7 peratus) dan sayur-sayuran (+1.8 peratus).

Menurut jabatan itu, kenaikan indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol itu dicatat di kebanyakan negeri, terutamanya negeri-negeri dengan tahap perbandaran tinggi seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2017, IHP mencatat kenaikan sebanyak 4.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, kebanyakannya didorong oleh peningkatan indeks makanan dan minuman bukan alkohol sebanyak 4.2 peratus. — Bernama

Advertisement