Anda di sini

26 Julai pengurusan kes lelaki menafikan ugutan jenayah terhadap teman wanita

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki diperintahkan Mahkamah Majistret pagi semalam supaya dibebas dengan jaminan RM6,000 berserta empat penjamin tempatan setelah menafikan tuduhan mencedera dan melakukan ugutan jenayah ke atas teman wanitanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Julai ini untuk pengurusan kes.

Christopher Ben, 23, dari Kampung Tudan Fasa 5 di sini telah didakwa mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas teman wanitanya, Merlyn Sampang, 38, dengan cara memukul mangsa menggunakan tangan dan juga menyepak mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3 petang, 9 Julai lalu di sebuah lot di Kampung Sealine, Lutong di sini.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap Merlyn Sampang, 38.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada masa dan di tempat yang sama.

Setelah mendengar pengakuan tidak bersalah tertuduh, mahkamah kemudian memerintahkannya supaya dibebas dengan jaminan masing-masing RM3,000 berserta dua penjamin tempatan bagi setiap tuduhan dihadapi.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki didenda RM6,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana kesalahan melakukan ugutan jenayah terhadap bapa kandungnya.

Mohamad Esman Zaini, 37, dari Kampung Lusut di sini telah mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah terhada Zaini Nayan dengan niat hendak menakutkan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7.30 pagi, 12 Julai lalu di sebuah rumah di Kampung Lusut di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement