Anda di sini

Turki tahan enam aktivis hak asasi manusia

Advertisement
 Gardner (kanan) bercakap kepada media kelmarin di hadapan bangunan mahkamah di Istanbul. — Gambar AFP
KESAL: Gardner (kanan) bercakap kepada media kelmarin di hadapan bangunan mahkamah di Istanbul. — Gambar AFP

ISTANBUL: Mahkamah Turki semalam memutuskan enam aktivis hak asasi manusia termasuk pengarah Amnesty International di Turki terus ditahan kerana membantu kumpulan pengganas, dalam kes yang dianggap oleh badan bukan kerajaan (NGO) itu sebagai satu “pencabulan keadilan”.

Pengarah Turki Idil Eser ditahan pada 5 Julai lepas bersama tujuh aktivis lain dan dua pengajar asing sewaktu bengkel pengurusan maklumat dan keselamatan digital di Buyukada, sebuah pulau ke selatan Istanbul.

Enam ditahan reman dan empat dilepaskan atas kawalan kehakiman,” kata penyelidik Turki dalam Amnesty International Andrew Gardner kepada AFP.

Pendakwa menuduh mereka “melakukan jenayah dalam nama sebuah organisasi pengganas tanpa menjadi anggota”, katanya.

Penahanan mereka mencetuskan kebimbangan antarabangsa dan memburukkan lagi kekhuatiran mengenai kebebasan ekspresi yang semakin merosot di bawah Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Keputusan itu dibuat sehari selepas aktivis terbabit, yang belum lagi dibicara ataum didakwa secara rasmi, memberi kenyataan kepada pendakwa buat pertama kali sejak penahanan mereka.

Ahli keluarga aktivis, yang berhimpun di luar bangunan mahkamah Istanbul kelmarin, kelihatan bimbang dan enggan bercakap kepada wartawan.

Lapan daripada mereka yang ditahan adalah aktivis hak asasi manusia dari Turki, termasuk Ilknur Ustun dari Pakatan Wanita dan Veli Acu dari Persatuan Agenda Hak Asasi Manusia. Empat daripada mereka kini sudah dilepaskan, kata Gardner.

Dua orang asing - seorang warga Jerman dan seorang warga Sweden yang mengetuai bengkel maklumat digital - kekal dalam tahanan pra-perbicaraan.

Gardner, yang bercakap kepada wartawan di luar mahkamah Istanbul sebelum keputusan dibuat oleh mahkamah, berkata jika aktivis itu ditahan reman dalam penjara sebelum perbicaraan, “ia adalah satu pencabulan keadilan”, dan menuntut mereka dibebaskan dengan segera.

Ini adalah satu ujian bagi badan kehakiman Turki,” katanya.

Turki akan dimalukan dalam mata dunia jika pembela hak asasi manusia ini diletak dalam penjara kerana mempertahankan hak asasi manusia.”

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata pada bulan ini, aktivis ditahan berdasarkan maklumat bahawa mereka menentang kerajaan, dan membandingkan mereka dengan golongan yang terbabit dalam rampasan kuasa yang gagal pada Julai tahun lepas.

Gardner berkata pertemuan di Buyukada adalah bengkel “rutin” dan tiada apa yang mencurigakan mengenainya.

Apa yang amat jelas sekali, seratus peratus jelas ialah ini adalah bengkel hak asasi manusia yang rutin - jenis bengkel yang berlaku di seluruh Turki, malah jenis bengkel yang berlaku di seluruh dunia,” katanya.

Gardner berkata, sebelum keputusan dibuat oleh mahkamah, pengarah Eser sentiasa “kuat semangat”.

Beliau menyampai pesan iaitu selepas beliau dibebaskan nanti, beliau mahu meneruskan apa yang beliau buat sebelum ini,” katanya.

Pengerusi Amnesty International di Turki, Taner Kilic, pada bulan lepas turut ditangkap, dituduh ada hubungan dengan pendakwah di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen, yang dituduh mengarahkan kudeta yang gagal pada tahun lepas, tuduhan yang beliau nafikan. — AFP

Advertisement