Anda di sini

Pemandu pelancong adalah sah

Advertisement

Mereka yang terlibat dengan demonstrasi akan dikenakan tindakan

KOTA KINABALU: Pemandu pelancong yang dikatakan beroperasi secara haram di sekitar bandar raya adalah sah.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Pang Yuk Ming berkata, dari segi undang-undang pemandu pelancong berkenaan tidak menjalankan operasi secara haram.

Kami telah berbincang dengan Persatuan Pemandu Pelancong Sabah (STGA), Persatuan Pemandu Pelancong Bumiputera (PBB) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) Sabah berkenaan demonstrasi yang berlaku pada Ahad.

Apa yang berlaku itu boleh memalukan diri mereka kerana tidak mengetahui perkara sebenar sebelum mengadakan demonstrasi.

Daripada mesyuarat yang dijalankan kami dapati apa yang dipaparkan dalam akhbar hari ini (kelmarin) melalui kenyataan MOTAC adalah benar yang mana pemandu pelancong yang dikatakan beroperasi tanpa lesen sebenarnya menjalankan perniagaan yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perjumpaan bersama STGA, PBB dan Motac di Lembaga Kebudayaan Sabah (STB) di sini pada Isnin.

Pang berkata demonstrasi yang berlaku di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) itu berkemungkinan berlakunya salah faham berkenaan isu itu.

Katanya, mereka yang terlibat dengan demonstrasi berkenaan akan dikenakan tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Presiden PBB Dabalun Balau memaklumkan kepada Pang bahawa kedua-dua persatuan berkenaan tidak terlibat langsung dengan demonstrasi itu.

Dabalun berkata, apa yang berlaku adalah di luar pengetahuan persatuan.

Mereka yang datang membuat demonstrasi adalah secara individu dan tidak melibatkan persatuan sama sekali.

Bagaimanapun, sebagai presiden persatuan pemandu pelancong berlesen Bumiputera, kami memohon maaf atas apa yang berlaku kerana terdapat segelintir ahli yang hadir pada demonstrasi itu,” katanya.

Menurutnya selepas mesyuarat berkenaan, mereka akan menyerahkan kepada pihak yang lebih arif untuk mengendalikan isu itu.

Advertisement