Anda di sini

Lelaki mengaku bersalah lakukan ugutan jenayah terhadap wanita warga emas

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM4,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita warga emas.

Hukuman itu dijatuhkan Penolong Kanan Pendaftar Md. Syafique Md. Hilmie setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Yong Poh Phien, 44, dari Desa Indah 3, Bandar Baru Permyjaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap Thian Mui Joon, 71, dengan niat menakutkan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.30 pagim 14 Julai lalu di sebuah rumah di Desa Indah 3, Bandar Baru Permyjaya di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Dalam kes berasingan, Mahkamah Majistret memerintahkan seorang lelaki dibebas dengan jaminan RM3,000 berserta dua penjamin tempatan setelah menafikan tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Julai ini untuk pengurusan kes.

Sahrol Saimi, 39, dari Pujut Tanjung Batu di sini telah dituduh melakukan ugutan jenayah terhadap Timah Julai @ Ilo Julai, 59, dengan niat menakutkan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9 pagi, 13 Julai lalu di sebuah lot di Jalan Tanjung Batu 2, Padang Kerbau di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie.