Anda di sini

KPT perlu revolusi teknologi untuk capai pendidikan berkualiti

Advertisement
 Mak (empat kiri) menyampaikan sijil perakuan pelantikan kepada Fazley sebagai duta rasmi AeU sambil diperhatikan Mary (tengah) serta kakitangan AeU.
DUTA RASMI: Mak (empat kiri) menyampaikan sijil perakuan pelantikan kepada Fazley sebagai duta rasmi AeU sambil diperhatikan Mary (tengah) serta kakitangan AeU.

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu melaksanakan revolusi teknologi seiring peredaran masa bagi mencapai pendidikan baharu yang berkualiti dengan kos yang jauh lebih rendah.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching berkata usaha itu bagi melengkapkan tiga aspek utama yang menjadi cabaran kepada KPT seiring era globalisasi kini.

KPT perlu mencapai tiga matlamat secara serentak iaitu memperluas akses, mencapai pendidikan tinggi yang berkualiti serta penggunaan kos yang lebih rendah.

Hal ini kerana, gelombang teknologi kini sudah mengubah paradigma pendidikan yang memerlukan kita mencapai akses yang meluas melalui revolusi teknologi pendidikan agar orang ramai juga mendapat manfaatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis ‘Re-Union’ Alumni Asia e University (AeU), di sini petang Ahad.

Jelas Mary, globalisasi teknologi yang berlaku di seluruh dunia kini perlu digunakan sebaik mungkin bagi menghasilkan modal insan yang mampu membawa perubahan pendidikan melalui pengetahuan atau kemahiran baharu.

Sebagai contoh, AeU yang sudah mencapai revolusi teknologi mengunakan capaian akses yang lebih luas dengan kos rendah melalui pra pelancaran ‘My Personalize Learning Space’ (myPLS5.0) pada majlis berkenaan.

Katanya, MyPLS5.0 yang sudah dilaksanakan sejak 2007 dan kini mengalami revolusi versi kelima itu adalah satu teknologi atas talian yang memudahkan urusan pembelajaran dan pengajaran (p&p) pelajar AeU.

Justeru, beliau berharap warga AeU akan terus memainkan penting dalam menyediakan ruang buat rakyat Malaysia ke arah ekonomi pada masa hadapan.

AeU juga mesti menghasilkan modal insan baharu yang menyediakan pendidikan kepada pelajar di setiap negara Asia bahkan di seluruh dunia.

Jadi, setiap individu perlu memainkan peranan dengan menunjukkan kepakaran masing-masing dalam membantu menguatkan rangkaian universiti ini,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut berbangga kerana AeU berjaya menghasilkan graduan dan alumni yang cemerlang sehingga universiti itu terkenal sebagai universiti terkemuka di asia.

Hadir sama ialah Naib Presiden Akademi AeU Profesor Mak Chai dan Dekan dan Pengurus Kanan merangkap Duta AeU Datuk Fazley Yaakob.

Advertisement