Anda di sini

Doktor ikonik Jepun meninggal dunia pada usia 105 tahun

Advertisement
 Hinohara menghadiri sidang akhbar di Tokyo dalam gambar rakaman Kyodo pada 25 September, 2015. — Gambar Reuters
DISANJUNGI: Hinohara menghadiri sidang akhbar di Tokyo dalam gambar rakaman Kyodo pada 25 September, 2015. — Gambar Reuters

TOKYO: Seorang doktor berusia lebih seabad di Jepun yang merawat pesakit hanya sehingga beberapa bulan sahaja sebelum kematiannya, dan membantu membentuk sistem perubatan yang menjadikan Jepun salah sebuah negara dengan jangka hayat paling panjang di dunia, meninggal dunia semalam pada umur 105 tahun.

Dilahirkan pada 1911, setahun sebelum kapal Titanic karam, Shigeaki Hinohara selama berdekad-dekad menjadi pengarah dan wajah Hospital Antarabangsa St Luke di Tokyo, yang begitu terkenal sebagai sebuah hospital antarabangsa sehinggakan ia merawat orang terkenal seperti Paul McCartney ketika beliau jatuh sakit sewaktu mengadakan jelajah ke Jepun pada 2014.

Beliau bekerja di St Luke seawal 1945, apabila beliau merawat mangsa serangan bom api ke atas Tokyo dalam Perang Dunia Kedua yang memusnahkan beberapa kawasan yang luas di bandar raya tersebut.

Sejak awal tahun ini, kesihatannya tidak begitu baik, tetapi sebelum itu, beliau kerapkali singgah di hospital untuk mengendalikan pemeriksaan dan bercakap dengan pesakit,” menurut jurucakap hospital.

Hinohara, aktivis awal bagi cara hidup lebih sihat untuk menangkis masalah penuaan, pada 1954 memperkenalkan apa yang dipanggil sistem ‘human dry-dock’ yang terdiri daripada pemeriksaan fizikal tahunan yang menyeluruh, sebahagian daripada sistem perubatan pencegahan yang dikatakan menyumbang kepada usia panjang di Jepun.

Hinohara, penulis 75 buku termasuk buku terlaris mengenai gaya hidup yang baik yang ditulis pada usia 101 tahun, juga kerap menjadi tetamu di televisyen Jepun, di mana beliau memperkenalkan amalan yang merangkumi jus oren dengan minyak zaitun untuk sarapan dan berkata tenaga datang daripada kebahagiaan tanpa sebarang peraturan tertentu dalam kehidupan.

Kita semua pasti ingat bagaimana ketika kanak-kanak, apabila berseronok, kita sering terlupa untuk makan atau tidur,” beliau dipetik sebagai berkata.

Saya percaya kita dapat mengekalkan sikap itu sebagai orang dewasa.

Adalah paling baik untuk tidak meletihkan badan kita dengan terlalu banyak peraturan seperti masa makan tengah hari dan masa tidur yang khusus.” — Reuters

Advertisement