Anda di sini

Syabu 3.8kg dirampas, tiga ahli perniagaan dan seorang penganggur ditahan polis

Advertisement
 Fadil menunjukkan hasil rampasan dalam Ops Bayu di sebuah hotel terkenal di Tawau.
DIRAMPAS: Fadil menunjukkan hasil rampasan dalam Ops Bayu di sebuah hotel terkenal di Tawau.

TAWAU: Empat suspek pembekal dan pengedar syabu termasuk tiga ahli perniagaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan jaringan sindiket dadah antarabangsa ditangkap di sini, kira-kira jam 10.30 malam Sabtu.

Penangkapan itu dilakukan berikutan penemuan bahan hablur jernih, disyaki dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam empat bungkusan plastik teh jenama Guanyinwang.

Dalam Ops Bayu itu, polis merampas kira-kira 3.8kg syabu dari sebuah hotel terkemuka serta menyita tiga kenderaan dan 11 telefon bimbit daripada kesemua suspek.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata keempat-empat suspek terbabit berumur 31-61 tahun, seorang beralamat di Tawau dan tiga lagi di Penampang.

Semakan Rekod Kesalahan Lampau mendapati suspek utama dari Tawau yang disyaki ‘orang tengah’ dalam kes itu, mempunyai kesalahan jenayah komersil dadah pada 2016.

Keputusan ujian awal saringan air kencing yang dijalankan bagaimanapun mendapati kesemua suspek terbabit negatif dadah,” katanya pada sidang media di sini pada Ahad.

Fadil berkata salah seorang ahli perniagaan terlibat juga disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthak Harta) 1998 - seluruh harta benda disita untuk siasatan polis.

Katanya, siasatan turut mengambil kira segenap sudut kes itu yang dipercayai digerakkan oleh sebuah kumpulan pembekal dan pengedar dadah terancang.

Kita tidak menolak kemungkinan jika dadah berkenaan hendak dipasarkan ke negara jiran berdasarkan kuantiti syabu yang ditemui, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Strike Team IPD Tawau itu diketuai ASP Ederian Masaat bersama dua pegawai dan 11 anggota polis,” katanya di sini pada Ahad.

Serentak itu juga, polis melancarkan gerakan menjejak saki-baki ahli kumpulan itu di negeri ini termasuk mengesan sekiranya jaringan sindiket terbabit turut beroperasi di luar negara.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Ahad mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan polis yang dibuka menerusi Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Advertisement