Anda di sini

Peniaga dituduh cuba rasuah polis

Advertisement

KOTA BHARU: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu di sini, semalam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba merasuah seorang anggota polis Julai lepas.

Tertuduh, Mohd Nazri Mohd Noor, 46, meminta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Tertuduh dituduh secara rasuah menawarkan suapan berjumlah RM5,000 dengan memberikan kad mesin juruwang automatik (ATM) berserta nombor pin kepada Kpl Hadi Hasan dari Balai Polis Pasir Puteh, sebagai dorongan untuk melepaskan dia dan rakannya, Md Akbardarr Md Ridzan, 31, yang ditangkap atas kesalahan memiliki dadah dan senjata buatan sendiri.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut dalam sebuah kenderaan kereta peronda polis semasa dalam perjalanan ke Balai Polis Pasir Puteh pada jam 12.45 tengah hari, 5 Julai lepas.

Tertuduh dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun dan denda tidak melebihi lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement