Anda di sini

Lesen dibatal jika sertai demonstrasi

Advertisement

STGA, PBB adakan demonstrasi kerana wujud pemandu pelancong haram

 Pemandu pelancong tempatan dikatakan mengadakan demonstrasi di LTAKK malam Sabtu lepas.
CEMAR IMEJ: Pemandu pelancong tempatan dikatakan mengadakan demonstrasi di LTAKK malam Sabtu lepas.

KOTA KINABALU: Lesen syarikat pemandu pelancong akan dibatalkan jika mereka didapati menyertai demonstrasi yang menyatakan wujud pemandu pelancong haram beroperasi di Sabah.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) Sabah Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, mereka melihat perkara itu secara serius dan meminta pihak polis melakukan siasatan terhadap perhimpunan itu.

MOTAC membantah tindakan dan sikap Persatuan Pemandu Pelancong Sabah (STGA) dan Persatuan Pemandu Pelancong Bumiputera (PBB) yang mengadakan demonstrasi di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) bagi menghentikan pengoperasian pemandu pelancong haram yang berasal dari China.

Kami melihat perkara ini secara serius dan meminta pihak polis melancarkan siasatan untuk mengesahkan perhimpunan berkenaan tidak sah.

Sekiranya didapati bersalah, kita tidak akan teragak-agak untuk membatalkan semua lesen mereka dengan serta-merta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya selepas berlaku satu perhimpunan bagi menyekat operasi pemandu pelancong yang dikatakan haram kira-kira jam 12.30 tengah malam Sabtu.

Dalam pada itu, sekumpulan pelancong China yang tiba di LTAKK ketika itu terpaksa menunggu sehingga kira-kira jam 2.30 pagi sebelum bergerak ke penginapan mereka di ibu negeri disebabkan demonstrasi berkenaan.

Ahmad Zaki berkata siasatan dibuat ke atas syarikat pelancongan yang dikatakan menjalankan operasi haram itu.

Kami mendapati syarikat berkenaan menjalankan perniagaan mereka secara sah mengikut Akta Industri Pelancongan 1992.

Dalam masa sama, mereka mempunyai pemandu pelancong berlesen dan bas pelancongan yang menunggu di lapangan terbang untuk menerima pelancong semasa ketibaan.

Tuduhan STGA dan PBB yang mengatakan syarikat pelancongan itu tidak mematuhi undang-undang adalah tidak benar sama sekali,” jelasnya.

Tambahnya, tindakan STGA dan PBB itu menyebabkan pemandu pelancong berlesen yang dilantik oleh syarikat pemandu pelancong melarikan diri dari lapangan terbang sebelum ketibaan para pelancong kerana ketakutan.

Tindakan mereka ini melakarkan pandangan negatif kepada pelancong yang tiba pada masa itu dan sekali gus mencemarkan imej masyarakat Sabah yang mesra kerana menyebabkan pelancong ini terkandas selama dua jam di LTAKK.

Dalam pada itu, kami telah menerima banyak aduan berkenaan tindakan itu dari syarikat pelancongan tempatan dan antarabangsa terutamanya China serta Korea.

Syarikat-syarikat ini juga membatalkan perjalanan yang telah mereka rancang sejak awal lagi ke Sabah.

Kelakuan sedemikian daripada persatuan pemandu pelancong terbabit tidak sepatutnya ada dalam industri ini,” katanya.

Presiden persatuan itu masing-masing harus memberikan contoh yang baik dalam memimpin pemandu pelancong mereka kerana masih banyak cara untuk menyelesaikan sebarang konflik seumpama itu melalui saluran yang betul.

Apa yang terjadi harus diselesaikan dengan cara yang baik melalui perbincangan seumpamanya. Kami juga sentiasa bersedia serta mengalu-alukan sesiapa sahaja yang memerlukan sokongan dan bantuan.

Kita semua perlu mengambil pendekatan holistik untuk menyelesaikan masalah,” tambahnya.

Advertisement