Anda di sini

Konflik bersenjata teruk jejaskan rakyat Afghanistan

Advertisement
 Gambar fail 31 Mei lalu menunjukkan sukarelawan Afghan mengusung mayat seorang penduduk yang maut dalam serangan bom kereta ke hospital Wazir Akbar Khan di Kabul. — Gambar AFP
DAHSYAT: Gambar fail 31 Mei lalu menunjukkan sukarelawan Afghan mengusung mayat seorang penduduk yang maut dalam serangan bom kereta ke hospital Wazir Akbar Khan di Kabul. — Gambar AFP

KABUL: Jumlah kematian dan kecederaan membabitkan orang awam di Afghanistan mencecah rekod tertinggi dalam separuh penggal pertama 2017, di mana 1,662 mati dan lebih 3,500 cedera, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Kematian di ibu negara Kabul meliputi hampir 20 peratus daripada jumlah keseluruhan, menurut laporan oleh Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA), yang telah merekodkan kematian dan kecederaan orang awam di negara terjejas perang itu sejak 2009.

Majoriti mangsa terbunuh di tangan militan termasuk Taliban dan pengikut Islamic State (IS), tambah laporan itu.

Enam bulan pertama tahun ini menyaksikan peningkatan signifikan dalam jumlah kematian orang awam dalam serangan berselaras tinggi melibatkan lebih seorang penyerang, dengan 259 mati dan 892 cedera, peningkatan 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Kebanyakan kematian tersebut berlaku dalam satu serangan di Kabul pada lewat Mei apabila sebuah trak bom meletup semasa waktu puncak pagi, membunuh lebih 150 dan mencederakan ratusan lagi.

UNAMA menyatakan kematian membabitkan orang awam mencecah 92 dalam insiden yang disifatkan paling berdarah sejak 2001.

Utusan khas PBB ke  Afghanistan Tadamichi Yamamoto berkata, kos manusia dalam konflik itu masih terlalu tinggi.

Penggunaan berterusan bahan letupan buatan sendiri secara sembarangan, besar-besaran dan haram amat menggerunkan dan harus dihentikan serta-merta,” tegas beliau.

Kaum wanita dan kanak-kanak turut menjadi mangsa, di mana UNAMA menyalahkan bahan letupan buatan sendiri dan serangan jet pejuang ke atas kawasan berpenduduk sebagai punca peningkatan tersebut.

Sejumlah 174 wanita mati dan 462 lagi cedera, peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, manakala 436 kanak-kanak maut dalam tempoh sama, mewakili pe-ningkatan sembilan peratus.

Hampir separuh daripada 34 wilayah di Afghanistan telah menyaksikan peningkatan dalam kematian orang awam dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kebanyakannya akibat peningkatan dalam serangan oleh tentera antikerajaan.

Operasi darat oleh pasukan keselamatan Afghanistan adalah punca utama kedua kematian dan kecederaan orang awam, walaupun UNAMA berkata, terdapat kemerosotan 10 peratus berbanding tempoh sama pada 2016.

Menurut statistik PBB, lebih 26,500 orang awam mati dan hampir 49,000 cedera akibat konflik bersenjata di Afghanistan sejak Januari 2009. — AFP

Advertisement