Anda di sini

Diana Danielle hidupkan watak komedi dalam telemovie 21 Julai ini di TV2

Advertisement
 Telemovie ‘Nora Bam Boom’ di TV2, Jumaat ini.
POSTER: Telemovie ‘Nora Bam Boom’ di TV2, Jumaat ini.
__alt__

NAMA Diana Danielle sememangnya sinonim dalam dunia lakonan. Pelbagai karektor dan watak telah cuba ‘dihidupkan’ pelakon cantik ini menerusi drama mahupun filem yang dilakonkan.

Jika sebelum ini ramai yang pernah menyaksikan beliau melakonkan watak serius dan gadis baik, namun menerusi sebuah telemovie terbaharu Radio Televisyen Malaysia (RTM), Diana tampil sebaliknya cuba menghidupkan watak komedi pula.

Menariknya menerusi telemovie bertajuk ‘Nora Bam Boom’, pelakon cantik Diana Danielle diuji kebolehannya membawakan watak utama sebagai Nora, gadis yang berkahwin dengan lelaki tua seusia ibunya. Pelbagai konflik kekeluargaan melucukan terjadi bila perkahwinan mereka tidak mendapat restu ibu Nora.

Mengisi slot Citra di TV2 pada 21 Julai ini, jam 9.30 malam, turut membintangi telemovie ini pelakon Zarina Zainuddin, Jasmin Hamid, Dato’ Ahmad Tamimi Siregar dan Hafizee Hatta.

Ikuti kisah dilalui gadis bernama Nora yang bekerja di pusat kecantikan Bam Boom. Kerana desakan orang sekeliling apatah lagi usianya yang semakin meningkat akhirnya dia bersetuju menerima Pak Ali, lelaki berusia 70 tahun sebagai suaminya. Nora tetap dengan keputusannya  walaupun ditentang oleh ibunya Cik Semah, seorang pengamal herba dan pembuat jamu.

Begitu pun Cik Semah akhirnya terpaksa menerima, Pak Ali yang dianggap sebagai musuh nombor satunya kini menjadi menantunya. Pada masa sama Cik Semah agak kekok dan kurang selesa bila Pak Ali memanggilnya ‘mak’.

Hakikatnya dalam diam rupanya Cik Semah menaruh hati pada Pak Ali yang juga digilai oleh Cik Nam, kawan baik Cik Semah. Itu yang membuatkan Cik Semah cemburukan anaknya apatah lagi bila Cik Nam juga turut mempersendakannya.

Muncul pula Jef, bekas teman lelaki Nora yang cuba mendapatkan Nora kembali. Dia cuba berbaik-baik dengan Cik Semah untuk mencapai hajatnya itu apatah lagi dia pun tahu Cik Semah tidak merestui perkahwinan anaknya itu.

Pak Ali mula curiga bila mendapati Jef rapat dengan mentuanya. Jef cuba memisahkan Pak Ali dengan Nora. Cik Semah dan Pak Ali berasa kekok tinggal di rumah berdua.

Merasa tertekan melihat gelagat Pak Ali dan anaknya, Nora, Cik Semah berhasrat hendak balik ke kampung halamannya di Cemor, Perak. Namun, hasratnya terbantut apabila Nora mula mengandung. Lalu apakah kesudahannya? Dapatkah Cik Semah menerima ketentuan takdir?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

__alt__
__alt__