Anda di sini

Curi kosmetik: Bon berkelakuan baik lima beranak dikekalkan

Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam menasihati seorang ibu bersama tiga anak dan menantu perempuannya yang mencuri pelbagai produk kosmetik pada bulan Ramadan tahun lepas, supaya bertaubat atas kesalahan yang mereka lakukan itu.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki yang mengetuai panel tiga hakim juga berharap supaya kesalahan itu menjadi pengajaran kepada semua wanita itu iaitu Rohaya A Rahman, 58, bersama anaknya, Noriza Che Abdullah, 39, Maimunah, 27, dan Nurul Fatihah, 20, serta menantunya, Zariah Zakaria, 38.

Ini adalah satu peluang yang Allah bagi kepada awak. Saya harap awak semua bertaubat, semua dah cantik-cantik, nak mencuri buat apa,” kata Hakim Mohtarudin yang bersidang bersama Hakim-Hakim Datuk  Seri Zakaria Sam dan Datuk Kamardin Hashim.

Panel itu kemudiannya mengekalkan hukuman bon berkelakuan baik selama dua tahun yang dijatuhi Mahkamah Tinggi Johor Bahru terhadap semua wanita itu kerana mencuri 17 barangan kosmetik pelbagai jenama bernilai RM2,171.50.

Sebelum ini mereka dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili kesemua wanita itu terhadap rayuan pihak pendakwan.

Panel itu kemudiannya membatalkan rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman dan perintah Mahkamah Tinggi itu.

Kami sebulat suara bahawa kegagalan pihak pendakwa memplidkan isu undang-undang dalam rayuan adalah satu kegagalan yang ‘fatal’,” kata Hakim Mohtarudin.

Pihak pembelaan membangkitkan bantahan awal terhadap rayuan pendakwaan atas alasan pihak pendakwaan tidak memplidkan isu undang-undang dalam rayuan itu.

Selepas keputusan itu kesemua wanita itu menangis sambil berpelukan antara mereka. Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke.

Pada 21 Jun tahun lepas, Mahkamah Majistret Kota Tinggi, Johor menjatuhi hukuman penjara tiga tahun terhadap kesemua wanita itu selepas mereka mengaku bersalah mencuri barangan kosmetik itu di sebuah kedai produk kesihatan dan kecantikan di Taman Anggerik di Bandar Tenggara, Kota Tinggi pada 11.40 pagi, 17 Jun 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya boleh dipenjara dengan denda atau sebatan.

Bagaimanapun mereka merayu di Mahkamah Tinggi yang kemudiannya menjatuhi hukuman bon berkelakuan baik selama dua tahun.

Semasa di Mahkamah Majistret itu seorang daripada wanita itu sedang mengandung enam bulan. — Bernama