Anda di sini

Ahli KWSP dinasihat tidak buat pengeluaran penuh selepas bersara

Advertisement

KOTA KINABALU: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinasihatkan agar tidak mengeluarkan caruman mereka sepenuhnya selepas persaraan.

Pegawai Retirement Advisory Service (RAS) KWSP Kota Kinabalu Mohd Rusdi Md Nasir berkata ia adalah bagi mengelakkan berlakunya masalah kewangan kepada pencarum selepas mereka bersara kelak.

Apa yang saya lihat, mereka ini cuma tahu mengeluarkan keseluruhan caruman mereka pada umur 55 tahun.

Daripada pihak KWSP, kami menasihatkan kepada ahli agar tidak membuat pengeluaran caruman sepenuhnya selepas persaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Bicara Persaraan Bersama KWSP di sini pada Ahad.

Rusdi berkata sebolehnya ahli KWSP hanya perlu mengeluarkan sebahagian daripada caruman mereka mahupun menggunakan kaedah pengeluaran bulanan.

Ini bukan sahaja membantu ahli kami untuk mengurus kewangan dengan baik selepas bersara tetapi mereka juga masih boleh memperoleh dividen daripada KWSP.

Dividen ini akan diagihkan kepada ahli sehingga mereka berumur 100 tahun,” jelasnya.

Selain itu, katanya, KWSP juga menyediakan dua bentuk bantuan kepada pencarum mereka seperti khairat kematian dan faedah kehilangan upaya.

Ini adalah untuk mereka yang layak sahaja. Khairat kematian ini adalah bantuan ahli KWSP kepada warisnya apabila mereka sudah meninggal dunia.

Bagi ahli yang kehilangan upaya, mereka boleh membuat pengeluaran carumannya dan KWSP akan memberikan bantuan RM5,000 kepada pencarum.

Namun, faedah ini hanya akan diberikan kepada ahli yang masih mempunyai caruman atau baki dalam akaun KWSP dan berumur 55 tahun ke bawah,” katanya.

Sementara itu, seminar selama dua hari berkenaan telah dihadiri seramai 583 orang yang mana pada hari pertama merekodkan 263 pengunjung mendaftar untuk menyertai program itu.

Advertisement